‘Kami’ disayangi orang kampung

Kami Sukiran
Kami Sukiran
A
A
A

PONTIAN - Memiliki nama yang cukup ringkas hanya empat huruf menyebabkan orang mudah mengingatinya.

‘Kami’ itulah nama dimiliki seorang wanita warga emas berusia 74 tahun di Kampung Parit Yasin Benut.

Peluang bertemu dengan pemilik nama unik itu tidak dilepaskan meskipun perlu mengharungi perjalanan yang jauh memandangkan Kampung Parit Yasin terletak di sempadan daerah Pontian-Kluang.

Kali pertama berjumpa terasa agak janggal apabila warga emas tersebut membahasakan dirinya ‘kita’.

Timbul perasaan pelik, namun Kami menjelaskan, dia tidak biasa menggunakan perkataan lain sebagai kata ganti nama diri seperti saya, mak cik ataupun nenek.

Kampung Parit Yasin tempat tinggal Kami sekeluarga terletak di sempadan daerah Pontian-Kluang.
Kampung Parit Yasin tempat tinggal Kami sekeluarga terletak di sempadan daerah Pontian-Kluang.

Bercerita tentang namanya itu, katanya, arwah bapanya, Sukiran Surau meletakkan nama tersebut selepas merasakan ia sesuai untuk diletakkan pada kad pengenalan.

Katanya, dia mempunyai nama berbeza pada surat beranak dan kad pengenalan.

Artikel Berkaitan:

“Nama dalam surat beranak, Murian tetapi dalam kad pengenalan Kami,” katanya,

Menurut Kami, dia kerap sakit dan pengsan sewaktu kecil menyebabkan bapanya mencari nama lain.

“Tidak pernah tanya lebih lanjut dengan arwah ayah kenapa nama begitu pendek. Tetapi ramai keluarga dan sanak-saudara beritahu dulu kita sering sakit.

“Lagipun zaman dulu susah hendak keluar kampung tiada pengangkutan macam kereta pada zaman sekarang,” katanya.

Isnin (kiri) menziarahi Kami (kanan) di rumahnya di Kampung Parit Yasin.
Isnin (kiri) menziarahi Kami (kanan) di rumahnya di Kampung Parit Yasin.

Jelasnya, dia amat bersyukur dengan nama yang diberikan arwah bapanya itu walaupun hanya empat huruf.

“Nama yang diberikan arwah ayah sangat dihargai. Gembira dapat nama yang mudah diingati dan disebut,” katanya.

Kami yang masih sihat dan cukup bertenaga melakukan kerja-kerja kebun seperti menanam pelbagai jenis sayur.

Selain itu, dia turut menternak ayam kampung yang dijual kepada penduduk di kampung tersebut.

“Daripada kecil sudah biasa kerja kebun. Mesti hendak ke kebun setiap hari. Tidak sedap badan kalau duduk rumah sahaja.

“Bila tengok kebun dan ayam kampung rasa tenang,” katanya.

No Image Caption

Kami berkata, kehidupan sederhana yang dilalui membuatkan dia cukup gembira kerana anak sulungnya Sahak Ismail bersama keluarganya tinggal di sebelah rumah.

Sahak Ismail, 49, merupakan anak sulung diikuti anak kedua, Murijan, 45, dan Mijah, 40.

Menurut Sahak, nama ibunya disifatkan cukup unik dan paling senang diingati kerana hanya memiliki empat huruf sahaja.

“Setakat ini, rasanya nama ibu saya yang paling ringkas di kampung. Apabila sebut kami ketika berbual pasti teringat ibu.

“Ada juga yang mengaitkan nama ibu dengan filem lakonan Sudirman bertajuk Kami, tetapi ibu saya lahir dulu sebelum filem itu,” katanya.

Kami turut menternak ayam kampung.
Kami turut menternak ayam kampung.

Sahak yang melakukan kerja-kerja kampung sebagai mata pencarian sentiasa berdoa agar ibunya itu diberikan kesihatan dan dipanjangkan usia.

Ketua Kampung Parit Yasin, Isnin Basri berkata, Kami antara warga emas yang masih kuat melakukan kerja-kerja kebun di kampung.

Katanya, sikap mudah mesra Kami menyebabkan dia begitu disenangi warga desa.

“Bukan sahaja memiliki nama unik tetapi Kami sangat disayangi penduduk kampung kerana sikapnya yang begitu ramah,” katanya.