Lebih separuh kanak-kanak makan kurang tiga kali sehari

Muhammed ketika dalam pelancaran Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan oleh UNICEF Malaysia di Wisma E&C, Bukit Damansara pada Rabu.
Muhammed ketika dalam pelancaran Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan oleh UNICEF Malaysia di Wisma E&C, Bukit Damansara pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenaikan kos sara hidup pasca pandemik Covid-19 menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan dan lebih separuh daripada mereka dilaporkan makan kurang daripada tiga kali sehari.

Pakar Ekonomi dan juga Felo Penyelidik di Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, berdasarkan Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan terbitan UNICEF Malaysia, 52 peratus kanak-kanak terutamanya di kawasan bandar dilaporkan makan kurang daripada tiga kali sehari, di mana kadar tersebut meningkat berbanding sebelum pandemik iaitu 45 peratus.

Ujar Muhammed yang merupakan ketua pasukan untuk kajian UNICEF itu berkata, faktor harga makanan yang tinggi dan kekangan kewangan merupakan penghalang utama kepada ibu bapa untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada anak-anak mereka.

“Hampir enam daripada 10 ketua isi rumah, termasuk wanita dan orang kurang upaya (OKU) yang menjadi ketua isi rumah, menyatakan harga yang tinggi sebagai halangan utama untuk mereka menyediakan makanan berzat kepada anak-anak.

Muhammed (dua dari kanan) bersama Juanita Vasquez(dua dari kiri), Zouhair (kiri) dan Maryam (kanan) menunjukkan Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan oleh UNICEF Malaysia di Wisma E&C, Bukit Damansara pada Rabu.
Muhammed (dua dari kanan) bersama Juanita Vasquez(dua dari kiri), Zouhair (kiri) dan Maryam (kanan) menunjukkan Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan oleh UNICEF Malaysia di Wisma E&C, Bukit Damansara pada Rabu.

“Selain itu, satu daripada empat ketua isi rumah dan isi rumah diketuai wanita mengatakan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menyediakan makanan berkhasiat.

“Angka ini lebih tinggi dalam kalangan isi rumah yang diketuai OKU, dengan hampir satu daripada tiga menyatakan pendapatan mereka hampir tidak memadai untuk menyediakan makanan yang berkhasiat dengan cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam pelancaran Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan oleh UNICEF Malaysia di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir dalam program berkenaan adalah Ketua Dasar Sosial Unicef ​​Malaysia, Dr Juanita Vasquez Escallon, Timbalan Ketua Penyelidik DM Analytics, Dr Zouhair Rosli dan Penyelidik kanan, DM Analytics, Maryam Halim.

Dalam pada itu, menurut Muhammed, beberapa pendekatan telah diambil bagi golongan isi rumah untuk menangani kesan kenaikan kos sara hidup termasuk menjimatkan perbelanjaan, mengurangkan makan, kerja lebih masa, mengorek simpanan, meminjam daripada ahli keluarga atau kawan-kawan atau menjual barangan milik peribadi.

Ulasnya, situasi berkenaan turut mendorong kepada perubahan tabiat pemakanan isi rumah seiring dengan langkah-langkah yang dilakukan demi harungi cabaran kenaikan kos sara hidup.

“Tabiat pemakanan telah berubah dengan ketara apabila responden mengatakan mereka makan lebih banyak telur, nasi, dan mee segera.

“Lebih kurang tujuh daripada 10 isi rumah mengatakan mereka lebih banyak berbelanja untuk telur, berbanding 52 peratus semasa pandemik.

“Namun, pengambilan makanan kurang sihat telah meningkat, dengan 46 peratus melaporkan makan lebih banyak mee segera berbanding 40 peratus semasa pandemik,” menurut beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!