Kalau nak berdakwah, jangan disebut empat huruf itu!

No Image Caption
A
A
A

DALAM polemik isu bantahan mahupun sokongan tentang konsert kumpulan terkenal dari United Kingdom, Coldplay yang bakal diadakan di ibu negara pada November depan, Merak Jalanan yakin masing-masing ada hujah tersendiri.

Merak Jalanan tertarik dengan satu sudut yang diangkat oleh seorang pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Derry Sulaiman ketika diminta memberi pandangan dalam satu forum berkenaan konsert Coldplay yang juga akan berlangsung di Jakarta.

Derry adalah seorang pemuzik heavy metal di kelab malam di Bali sebelum berhijrah dan mendalami Islam, memberikan satu pandangan yang mungkin tak terfikir oleh kita.

Dalam hujahnya, beliau meminta kita dalam membicarakan isu konsert Coldplay ini, jangan disebut empat huruf iaitu LGBT ( lesbian, gay, biseksual dan transgender) yang dikaitkan dengan pembawaan kumpulan barat itu.

Jelas Derry, jika dalam semua perdebatan, perbahasan mahupun tulisan umat Islam mengulas isu Coldplay sering menyebut empat huruf berkenaan, kita seperti memberikan promosi percuma kepada budaya songsang itu.

Alasan Derry, mungkin ramai terutamanya golongan remaja yang tak tahu apa erti empat huruf itu membuatkan mereka teruja untuk membuat cari di internet dan secara tidak langsung mereka akan tahu mengenai perbuatan itu dan mungkin mempengaruhi minda mereka.

Merak Jalanan melihat sudut pandangan yang diluahkan oleh Derry Sulaiman itu adalah satu bentuk dakwah yang berhikmah.

Derry Sulaiman mengakui akan pergi juga ke konsert Coldplay di Jakarta itu untuk menjalankan kerja-kerja dakwah kepada penonton.

Merak Jalanan tak terkejut dengan tindakan Derry itu, tapi itulah cara sebenar berdakwah, bukannya di Makkah, Madinah mahupun madrasah tetapi di konsert yang dihadiri anak muda dan kelab-kelab malam.