Benteng pecah, penduduk bimbang banjir

Azmi (tiga dari kanan) menunjukkan benteng yang pecah di Kampung Tampok Laut.
Azmi (tiga dari kanan) menunjukkan benteng yang pecah di Kampung Tampok Laut.
A
A
A

PONTIAN - Kejadian air pasang besar sehingga menyebabkan benteng pecah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Kampung Tampok Laut, sejak dua minggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk khuatir sekiranya berlaku banjir berikutan benteng yang berfungsi menghalang air laut mengalir ke tali air tidak dapat berfungsi dengan baik.

Seorang penduduk, Azmi Ahmad, 50, berkata, keadaan benteng semakin terjejas bermula dengan rekahan kecil dan kini dianggarkan seluas dua meter.

“Air laut akan mengalir melalui rekahan tersebut dan kemudiannya ke kawasan tali air yang terlalu dekat dengan kira-kira 20 buah rumah penduduk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Azmi yang juga nelayan memberitahu air pasang besar yang kerap berlaku selepas jam 10 malam menambah risiko berlaku banjir kilat.

Dia juga turut mengakui tidak mampu tidak lena tidur setiap kali memikirkan keadaan benteng yang pecah itu.

“Pada tahun 2013, berlaku banjir di Kampung Tampok Laut disebabkan benteng pecah. Ketika itu, hampir seluruh kawasan kampung dinaiki air.

“Saya masih terbayang banjir yang berlaku itu walaupun sudah lama berlalu. Oleh itu, kami harap benteng yang pecah itu segera dibaiki,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Norlizah Ali, 52, berkata, keadaan benteng yang pecah itu semakin teruk.

“Dua minggu lepas, motosikal masih boleh lalu benteng di sini tetapi sekarang ini benteng sudah pecah.

“Tindakan membaiki benteng perlu dilakukan kerana air pasang besar dan hujan dibimbangi akan mengundang risiko banjir,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung, Mohd Yahya Sulaiman berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai dua rekahan pada benteng di sepanjang 10 kilometer menghala ke Benut itu.

Bagaimanapun katanya, aduan dikemukakan kepada agensi berkaitan menampakkan impak positif apabila jentera berat sudah memasuki kawasan benteng yang pecah untuk melakukan kerja-kerja baik pulih benteng.