Husam cadang Muhyiddin sebagai TPM

Husam Musa - Foto Sinar Harian
A
A

UMUM sudah mengetahui Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan.

Namun, siapa yang akan dilantik sebagai gandingannya untuk menjadi timbalan perdana menteri yang kini digalas oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, masih menjadi tanda tanya. Persoalan bila tempoh peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri akan berlaku juga masih kekal misteri sehingga ke hari ini.

Tiada siapa yang dapat meneka apa yang akan berlaku sehingga peralihan kuasa itu terjadi dan apakah takdir Anwar akan berakhir sebagai Perdana Menteri juga masih samar-samar.

Selain itu, apa nasib Pas selepas ini? Apakah masih mahu mengekalkan kerjasama bersama UMNO atau menerima pelawaan untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) demi masa depan yang lebih cerah.

Ikuti wawancara Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, Pengarang Eksekutif (Cetak), Azmi Tarmizi, Pengarang Eksekutif (Digital), Ruzy Adila Idris dan wartawan, Hasniza Hussain serta jurugambar, Zahid Izzani bersama Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa yang berkongsi pandangan mengenai isu-isu ini.

Apakah komen Datuk terhadap isu peralihan jawatan Perdana Menteri? Adakah Datuk mempunyai kecenderungan pada mana-mana pemimpin untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Husam: Saya yang pertama mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri PH menerusi satu ceramah terbuka suatu masa dulu.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam penjara. Saya dikritik oleh banyak pihak kerana menamakan semula Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri.

Pada masa itu, saya dimomokkan bahawa Dr Mahathir sudah tua, sudah nyanyuk dan sebagainya. Malah Dr Mahathir juga dilabel 'ada darah di tangan' kerana isu Memali oleh Pas dan UMNO.

Dalam konteks peralihan kuasa ini, yang pertama adalah isu kestabilan negara di mana kepimpinan yang teratur dan pemimpin yang menggantikan mesti berpengalaman.

Ada dua pemimpin paling senior daripada kalangan orang Melayu iaitu Anwar dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kini Menteri Dalam Negeri).

Mahu tak mahu peralihan kuasa tetap akan berlaku. Sama ada dalam tempoh setahun, dua tahun, lima tahun atau mungkin satu penggal setengah. Saya tidak meletakkan had masa.

Perkara ini subjektif. Ini hanya pendapat saya secara peribadi, bukan keputusan daripada PH.

Proses peralihan kuasa mesti teratur kepada pemimpin paling berpengalaman untuk mengendalikan negara. Sudah tentu paling senior ialah Anwar dan Muhyiddin tapi asasnya adalah sinergi.

Bagaimana gerakan Anwar telah menghampiri kemenangan pada pilihan raya-pilihan raya lepas tetapi masih belum menang. Nampak dekat tapi belum sampai.

Dengan adanya Dr Mahathir, apa yang dibina Anwar sejak berbelas tahun dapat dicapai. Ini menunjukkan sinergi dua pemimpin ini sangat serasi dan berkesan. Bahkan daripada dahulu, gabungan kedua-dua mereka menghasilkan 'chemistry' yang diminati rakyat Malaysia.

Kita sudah ada 'chemistry' itu hari ini dan sudah ada susunan. Tinggal lagi kalau ditakdirkan Anwar jadi Perdana Menteri, siapa yang akan jadi Timbalan Perdana Menteri? Setakat ini tiada orang yang bincang. Saya memberanikan diri membincangkan perkara itu pada hari ini.

Saya cadang Anwar (sekiranya menjadi Perdana Menteri) mengambil seorang pemimpin Melayu daripada parti bukan PKR sebagai gandingan untuk timbal balas kesudian Dr Mahathir mengambil pemimpin bukan daripada Bersatu untuk menjadi Timbalan Perdana Menterinya iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Saya mencadangkan, ambil Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu iaitu Muhyiddin.

Jika Muhyiddin, pasti ia akan menjadi satu kombinasi yang boleh mengamankan peralihan kuasa. Dari segi senioriti jawatan, Muhyiddin sangat layak. Malah beliau juga berpengalaman.

Bagaimana pula dengan peluang pemimpin pelapis dalam PH itu sendiri?

Husam: Sinergi antara keluarga Anwar dan Dr Mahathir juga mesti dijaga. Kita tidak boleh biarkan dua keluarga ini berperang semula.

Kalau berperang semula, ia merupakan atu kerugian kepada kestabilan negara sebab dua keluarga ini mempunyai pemimpin pelapis iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Nurul Izzah Anwar.

Bayangkan, kalau dua pemimpin pelapis ini bertembung semula, saya kira tiada keuntungan kepada negara. Alangkah indahnya kalau akhirnya peralihan kuasa berjalan seperti disebutkan dan dengan sendiri semua masalah lain akan dapat diatasi.

Malah, saya melihat, Dr Mahathir dan Anwar tidak melatah walaupun ada usaha melaga-lagakan mereka ketika ini.

Pada pendapat saya, apabila Anwar ketika dalam penjara sudah menerima cadangan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH melalui satu tandatangan bertulis dan kemudiannya menerima Dr Mahathir dicalonkan sebagai Perdana Menteri untuk tadbir negara jika PH menang pada PRU lalu, ini adalah satu akomodasi bagi pihak Anwar kepada peribadi Dr Mahathir dan menutup fail-fail politik sebelum konsolidasi ini.

Anwar telah menerima hakikat bahawa Dr Mahathir lebih senior, lebih berpengalaman serta lebih jitu dari segi kepimpinan. Anwar juga belajar banyak perkara dalam episod-epidod sebelum ini. Saya kira legasi Dr Mahathir akan terus dijaga.

Andaian Datuk apakah peralihan tersebut akan tercapai seperti yang disebutkan atau akan ada cabaran lain?

Husam: Semuanya ALLAH yang menentukan. Saya tak boleh jawab soalan itu tapi saya ulangi peralihan kuasa yang tersusun adalah penting. Tetapi masa atau bila ia akan berlaku, saya tidak mahu meletakkannya dalam minda.

Saya yakin Dr Mahathir selaku pemimpin bertanggungjawab dan sudah melalui pelbagai gelombang politik.

Setakat yang saya lihat kecenderungan beliau untuk menjaga negara dan memastikan negara berada di landasan betul. Saya yakin Dr Mahathir sudah mempunyai perancangan tersendiri bila peralihan kuasa ini akan berlaku.

Saya yakin beliau tidak akan terpengaruh dengan meletakkan peralihan kuasa dalam sebarang pertembungan. Dr Mahathir akan melaksanakan strategi kesinambungan kepimpinan untuk kestabilan negara dengan cara terbaik mengikut pilihan beliau.

Adakah Datuk fikir di Kelantan, mereka boleh menerima cadangan untuk satu gabungan di peringkat Persekutuan dan gabungan itu kalau jadi, akan melibatkan tawaran-tawaran atau jawatan tertentu dalam kerajaan?

Husam: Saya kira Pas walaupun nampak rigid tetapi pernah elastik. Pada tahun 1974, Pas tukar pendirian masuk BN. Hukum masuk BN pada ketika itu oleh jawatankuasa Ulama Pas adalah harus.

Kemudian Pas kata tak boleh kerjasama dengan UMNO, hukumnya haram. Hari ini bersama UMNO, hukumnya wajib. Saya rasa tak ada masalah bagi Paskerana hukum haram, harus, wajib itu semua dalam bidang kuasa mereka untuk tentukan.

Suhu politik dalam PH sekarang macam mana?

Husam: Sangat nyaman. Isnin lalu kami ada mesyuarat PH dan kalau saudara dapat lihat daripada luar di skrin televisyen pasti akan kagum. Orang selalu kata mesyuarat PH pasti tegang. Sepanjang pengalaman saya, mesyuarat PH memang tegang tapi bukan selalu.

Bila suasana nampak agak tegang, semua memberi cadangan supaya isu itu dibincangkan dalam majlis Mesyarat Khas Presiden melibatkan presiden parti-parti dianggotai lima orang.

Dalam mesyuarat lain, semuanya berlangsung dengan gelak ketawa, Dr Mahathir umpamanya, suka buat jenaka spotan.

Kita ikut agenda ditentukan dan berbincang dengan cara mesra dan menyenangkan walaupun dalam setengah suruhan mengatakan mesyuarat akan menjadi tegang. Ini kerana mereka tidak faham mekanisme PH.

Bagaimana keadaan di politik Kelantan selepas setahun berlalu? Adakah berbeza politik di sana dengan politik Malaysia?

Husam: Pertama sekali dasar PH dari segi melayan negeri-negeri pembangkang. Saya kira kerajaan-kerajaan negeri ini boleh merasai perbezaan di mana sebelum ini walaupun pada era bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjinak-jinak dengan Pas. UMNO berjinak-jinak dengan Pas bukan perkara baharu.

Cuma perbezaan dulu mereka menggunakan pendekatan secara berselindung iaitu antara kerajaan dengan kerajaan. Dari segi parti, boleh kata tak wujud kerjasama.

Tapi kita di peringkat pimpinan parti, kita tahu adanya hubungan belakang tabir yang lama antara pemimpin Pas dan UMNO khususnya antara, Najib dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun keadaan perhubungan pada masa itu atas dasar ta'awun itu dikira sebagai kemuncak hubungan baik antara parti dari segi kerajaan tetapi masih ada perkara-perkara yang tidak dilayan secara saksama seperti PH layan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu pada hari ini.

Sebagai contoh, pemberian royalti petroleum. Walaupun pada era Najib hubungan dikatakan baik tapi pembayaran royalti untuk Kelantan tidak berlaku. Sekarang bagi negeri Terengganu, PH membayar royalti secara langsung.

Dari segi peruntukan kerajaan tempatan hari ini, untuk majlis daerah dan majlis perbandaran negeri Kelantan disalurkan terus oleh kerajaan pusat kepada kerajaan Kelantan.

Bahkan kerajaan pusat tidak lagi menggunakan saluran Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai teras utama agensi jabatan kerajaan Persekutuan.

Kakitangan dan pegawai JPP dikurangkan dengan begitu besar dan perbincangan serta saluran pembangunan disalurkan terus kepada kerajaan termasuk pelantikan jentera di peringkat bawah yang kita panggil penghulu di Kelantan dan ketua kampung di negeri-negeri lain.

Hanya ada penghulu bawah kerajaan negeri dan dibentuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Ini adalah sebahagian diserahkan kepada kerajaan negeri dan lima orang saja dari 11 anggota adalah pilihan kerajaan Persekutuan.

Ini semua adalah amalan-amalan demokrasi lain yang dipilih oleh rakyat untuk menggambarkan falsafah kerajaan PH iaitu layanan kepada kerajaan negeri menjadi lebih demokratik dan kerajaan-kerajaan yang dipilih oleh rakyat dihormati sebagai kerajaan yang sah dan diterima.

Saya kira ini patut menjadi renungan buat rakyat Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis. Ia juga patut jadi ukuran ketika Pas cuba menyerang PH dengan begitu giat, mereka tak harus lupa terhadap perkembangan positif ini.

Oleh kerana itu, saya tidak gunakan masa ini untuk menyerang parti lain secara bersungguh-sungguh atau secara aktif. Pada pendapat saya, politik mesti ada.

Oleh kerana rakyat telah membuat keputusan maka kita kena tumpukan usaha untuk menyampaikan amanah diberikan iaitu menyelesaikan masalah-masalah rakyat dan memenuhi kewajipan dan keperluan-keperluan rakyat.

Politik kepartian pada pendapat saya dalam era selepas pilihan raya harus diperlahankan kecuali dekat pilihan raya esok kita boleh aktifkan semula perang politik itu.

Datuk dulu pernah disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Kelantan. Apakah masih ada cita-cita itu?

Husam: Sebenarnya orang sebut apa yang tiada dalam hati kita. Tiada siapa tahu apa dalam hati saya. Tapi orang sebut macam itu. Ia sesuatu di luar kedudukan kita yang sebenar, bahkan satu beban kepada kita.

Saya tak pernah sebut saya akan jadi Menteri Besar dan saya tak minat untuk jadi Menteri Besar. Sebahagian karier saya adalah sebagai pembantu Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saya hanya budak di belakang tabir, tak pernah menonjol. Saya pernah diajukan soalan sama sewaktu pertemuan dengan pelajar di Mesir ketika menjadi Exco dan saya telah jawab. Apa yg ditentukan ALLAH itulah yang akan berlaku. Tidak ada siapa yang boleh merancang atas diri sendiri.

Pada masa itu, saya tahu kecemburuan rakan-rakan saya apabila saya kononnya disebut akan menggantikan Allahyarham Tok Guru telah berlaku. Oleh kerana itu, persiapan mental saya daripada awal, saya bukan calon Menteri Besar.

Bukan masalah jawatan. Sekarang pun saya tiada jawatan yang hebat tetapi bagaimana kita guna asas Islam sebagai asas perjuangan kita untuk membuktikan perkhidmatan kita selari dengan oto perjuangan kita dan lebih baik daripada agenda-agenda lain.

Sebagai contoh, perisytiharan harta boleh jadi 'milestone' kepada Islam. Rakyat boleh lihat pejuang Islam lebih terbuka serta telus tetapi apabila Presiden Pas kata, perisytiharan harta ini idea komunis dan sosialis.

Saya rasa tersinggung. Seolah-olah kita beri merit kepada sosialis dan komunis bahawa mereka lebih baik daripada Islam sendiri kerana boleh isytihar harta secara telus dan Islam kena sembunyikan harta pemimpin kerana ia diharamkan. Ia sudah jadi terbalik.

Jadi ini yang menjadi kebimbangan saya, bukan jawatan. Jawatan adalah tunggangan untuk melaksanakan agenda perjuangan. Tetapi kalau awal-awal sudah ubah perjuangan kita dan campur-adukkan dengan perkara-perkara yang boleh rosakkan idealisme perjuangan, pada saya perjuangan Pas sudah hancur luluh. Untuk betulkan balik, mungkin 40 tahun akan datang.

Dengan 'line up' pemimpin yang ada sekarang, kalau mereka tak balik ke pangkal jalan, mereka telah merosakkan nama baik Pa.

Pada satu masa perisytiharan harta ini menjadi senjata politik Pas. Dalam manifesto kami dulu-dulu, salah satu perkara yang hendak dibuat adalah penubuhan suruhanjaya dipanggil hisbah. Apabila Abdul Hadi menjadi Menteri Besar Terengganu, mereka menubuhkan hisbah di Terengganu.

Apa tujuan hisbah? Ia bertujuan memantau pemimpin yang ada kuasa supaya tidak menggunakan kuasa itu untuk kekayaan diri mereka sendiri. Tapi macam mana kita nak tahu mereka ini kumpul kekayaan atau tak?

Dengan cara mengisytiharkan harta dan membenarkan agensi memeriksa kekayaaan mereka. Tapi kenapa sekarang jadi haram? Patut ini dijuarai oleh Pas. Mereka sepatutnya buat majlis besar-besaran dan panggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan isi borang bersama.

Tunjukkan Pas bersedia. Tetapi kalau Pas pun takut nak isytihar harta dan guna Islam untuk melindungi ketakutan, itu sudah dilihat sebagai satu kerosakan.

Sama seperti masalah Rang Undang-Undang (RUU) 335. Di mana DAP dijadikan sasaran atau mangsa iaitu kegagalan RUU itu sebab DAP menolak.

Sedangkan pada masa yang sama, Parti Bersatu Sabah (PBS) di Parlimen juga menolak. Pas juga mengatakan hubungan dengan PH tak boleh diteruskan kerana adanya DAP yang menolak RUU 355. Pada masa yang sama, dalam PRK Sandakan pemimpin Pas mengumumkan bekerjasama dengan PBS.

Jadi mana satu landasan yang digunakan?Kalau landasan-landasan ini dirobek setiap masa, pada pendapat saya, tiada masalah besar bagi Pas untuk mempertimbangkan bersama dengan PH kerana eksesais ini pada saya adalah kerana kuasa.

Disebabkan kuasa, Pas boleh bekerjasama dengan PBS dan juga kerana kuasa, Pas boleh bekerjasama dengan UMNO, parti yang pernah diharamkan. Jadi apa masalah untuk mereka berfikir dengan lebih pragmatik dan realistik, untuk bekerjasama dengan PH.

Datuk pernah bekerja dengan Allahyarham Tok Guru, Nik Abdul Aziz. Jadi, apakah penilaian paling besar Datuk terhadap beliau?

Husam: Kelebihan Allahyarham Tok Guru ialah keberanian membawa politik baharu dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Jika masih ingat, dahulu orang Pas tidak boleh merayakan Tahun Baru Cina tetapi Allahyarham merayakannya. Dulu pemimpin Pas tidak boleh berjumpa dengan pemimpin agama lain tetapi beliau memanggil mereka untuk dialog di pejabat.

Allahyarham juga dilihat hadir ke kuil-kuil termasuk menziarahi sami yang meninggal dunia di kuil. Pada mulanya ia menjadi polemik tetapi akhirnya eksesais ini memberikan beliau satu penghormatan yang sangat tinggi daripada masyarakat Malaysia.

Rumah beliau jadi pusat kunjungan, ada yang datang dengan bas tak kira Melayu, Cina, India berkunjung dan masuk ke masjid beliau untuk mendengar tazkirah dan kuliah. Itu menunjukkan bagaimana yakinnya mereka dengan kepimpinan llahyarham tok guru.

Apabila Tok Guru pergi ke majlis-majlis dihadiri pelbagai kaum, orang bukan Islam datang peluk dan cium dia. Kenapa kecintaan ini wujud? Sedangkan Allahyarham Tok Guru dari segi identiti, serban pun tak pernah buang. Dia pergi ke Amerika, China mahupun ke Parlimen, dia masih pakai serban. Sampaikan orang kata dia akan jadi Perdana Menteri pun dia tak buang serban.

Saya nak sebut dari segi ketulenan identiti Tok Guru tapi orang masih hormat dia. Kita kehilangan satu ikon yang mempunyai jiwa Islam dan boleh bercakap dalam pelbagai bahasa kaum di negara ini.

Ini satu kehilangan paling besar dan ajaran beliau, bangsa adalah ketentuan tuhan tetapi Islam boleh dimiliki dan cahaya iman boleh tembus hati mana-mana manusia tanpa mengira bangsa.

Atas falsafah politik ini, orang Cina boleh jadi perdana menteri kalau dia beragama Islam, orang Cina boleh jadi Menteri Besar Kelantan kalau dia Islam.

Jadi skop itu menjadi lebih luas kerana tidak menghadkan kepada orang Melayu. Ruang untuk tambahkan bilangan penganut Islam lebih besar dari kita membesarkan kehilangan ketakutan Melayu yang tidak sepenuhnya mempunyai asas kebenaran.

Jadi pendekatan politik tok guru adalah membesarkan tapak Islam, pendekatan pemimpin Pas sekarang pula adalah mengecilkan kubu kemelayuan.

Jadi ini 'contradict'. Terpulang kepada rakyat Malaysia, khususnya orang Islam untuk menimbangkan politik mana yang lebih sesuai dalam negara kita. Politik mengkubukan Melayu atau meluaskan sinar Islam.

Haluan politik yang Datuk pilih sekarang melalui Amanah dan PH. Adakah ia tidak bertentangan dengan apa yang diajar oleh Allahayarham Tok Guru?

Husam: Inilah sebenar yang diajar oleh Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz iaitu dengan menganggap orang bukan Islam sebagai potensi penganut Islam dengan cara pendekatan yang betul dan tak kehilangan identiti kita.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia