DAP jangan ganggu siasatan Paul Yong, pesan MCA

Guo Nan (duduk, dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama ahli-ahli MCA yang menunjukkan gambar dan sepanduk berkaitan isu yang dibangkitkan.
Guo Nan (duduk, dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama ahli-ahli MCA yang menunjukkan gambar dan sepanduk berkaitan isu yang dibangkitkan.
A
A
A

IPOH - MCA Perak meluahkan kebimbangan terhadap tindakan pihak tertentu yang cuba mempengaruhi siasatan polis dengan membuat perhimpunan tertentu berhubung kes Exco Kerajaan Perak, Paul Yong.

Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awamnya, Low Guo Nan berkata, beberapa perhimpunan yang dibuat sejak semalam memperlihatkan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP bersama penyokongnya membawa sepanduk yang tertera sokongan kepada Exco berkenaan.

Beliau berkata, mereka secara jelas mengatakan Paul tidak bersalah dan mengatakan tuduhan tersebut merupakan usaha untuk menjatuhkan pemimpin DAP.

"Tindakan mereka itu sesuatu yang tidak sihat dan cuba mempengaruhi siasatan pihak polis. Sebagai kerajaan, mereka sepatutnya mempercayai siasatan polis dan bukan terus kata cubaan untuk jatuhkan Paul.

"Jika mereka ada maklumat, salurkan ke tempat yang betul. Perhimpunan seperti ini hanyalah untuk menghasut supaya pihak berkuasa tak perlu siasat," katanya dalam sidang media di Wisma MCA, di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa himpunan itu dimuat naik di dalam Facebook dan ia dijangka akan terus diadakan di seluruh Perak.

Katanya, MCA sudah membuat laporan polis meminta agar perhimpunan itu dihentikan kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif kepada pihak polis sekaligus mengganggu siasatan.

"Kami meminta semua rakyat Malaysia turut menjadi pemerhati kepada keadaan ini kerana kita mahu pihak polis menjalankan siasatan dengan adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tidak boleh jadi hakim mengatakan seseorang itu tidak bersalah ketika siasatan sedang dijalankan dan belum pun dibawa ke mahkamah," katanya.

Menurut beliau, antara kawasan yang telah mengadakan perhimpunan itu adalah di Tronoh, Batu Gajah dan Pokok Assam, Taiping.

Sementara itu, Guo Nan berkata, pihaknya mendesak agar Paul digantung tugas atau secara sukarela bercuti daripada melakukan sebarang tugas sehingga siasatan selesai.

Katanya, selepas siasatan selesai dan terbukti bahawa Exco berkenaan tidak bersalah barulah tugas boleh disambung.

ARTIKEL BERKAITAN: Paul Yong tak perlu bercuti: Peguam