Kojadi ada kaitan dengan 1MDB: Guan Eng

Guan Eng. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa Koperasi Jayadiri Sdn Bhd (Kojadi) tiada kaitan dengan 1MDB adalah tidak benar, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Hal ini kerana, menurut beliau, Kojadi pernah menerima dana sebanyak RM15 juta daripada Yayasan 1MDB dan sebanyak RM6.1 juta telah dipulangkan semula kepada yayasan itu.

"Saya difahamkan, wang sebanyak RM15 juta dikeluarkan daripada Yayasan 1MDB menerusi satu surat perjanjian. Saya nak sebut bahawa akaun Yayasan 1MDB telah mendapat balik bayaran sebanyak RM6.1 juta.

"Jadi untuk menyatakan bahawa wang yang diterima Kojadi tidak berkaitan dengan 1MDB adalah tidak benar sama sekali kerana akaun Yayasan 1MDB menerima sebanyak RM6.1 juta yang telah dipulangkan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur).

Sebelum ini, Pengerusi Kojadi, Ng Peng Hay berkata, koperasi itu telah menerima geran RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk skim kredit mikro untuk belia.

Peng Hay berkata, dia telah mencadangkan dalam mesyuarat lembaga Kojadi pada 27 Jun lalu agar mereka mengembalikan wang itu berikutan langkah SPRM yang mahu menuntut dana berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, lembaga Pengarah Kojadi dalam satu kenyataan berkata geran RM15 juta yang diperkatakan itu tiada kaitan dengan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 9 Julai lalu, Peng Hay memaklumkan lembaga pengarah Kojadi memutuskan untuk menggantung tugasnya sebagai pengerusi serta-merta.

Dalam pada itu, Guan Eng turut membidas tindakan dikenakan terhadap Peng Hay yang mahu memulangkan semula wang 1MDB.

"Usaha Pengerusi Kojadi nak pulangkan wang RM15 juta daripada Yayasan 1MDB adalah tindakan berani dan dapat memulihkan nama Kojadi yang dapat wang kerana campur tangan sebuah parti politik.

"Saya harap perkara ini tidak berlarutan, janganlah pecat (gantung) orang yang nak pulangkan wang 1MDB kepada kerajaan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia