Pencemaran Sungai Danga bukan daripada loji kumbahan: IWK

Keadaan air berwarna hitam di Sungai Danga.
Keadaan air berwarna hitam di Sungai Danga.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pencemaran Sungai Danga, di sini, yang menyaksikan perubahan air kepada warna hitam dinyatakan tidak mempunyai kaitan dengan kerja-kerja rawatan sisa kumbahan yang dijalankan.

Menurut kenyataan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), hari ini, kesemua loji syarikat yang berada sekitar kawasan sungai berkenaan masih berada dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Hasil persampelan air efluen terawat semasa di hujung proses rawatan, menunjukkan ia memenuhi piawaian yang telah ditetapkan JAS dan berada dalam keadaan baik.

“Untuk makluman, IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 6,700 buah loji di bawah seliaan IWK sentiasa mengikut spesifikasi dan prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, sebagai usaha membantu pemuliharaan sungai berkenaan, IWK juga telah bekerjasama dengan pihak kawal selia seperti JAS, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kerjasama juga turut melibatkan Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) dan pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berhubung dengan aduan air Sungai Danga yang bertukar warna kepada hitam dan berbau.

“Malah, pasukan IWK Johor turut membantu agensi-agensi terbabit dalam mencari punca sebenar pencemaran di sungai terbabit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Amran A Rahman memberitahu, maklumat awal daripada pihak JPS menyatakan pencemaran berkenaan adalah berpunca daripada pelepasan akhir loji milik IWK di kawasan Taman Bukit Indah dan Taman Perling.

“Namun begitu, hasil daripada pemantauan dengan menggunakan peralatan dron, didapati terdapat perubahan warna sungai daripada coklat kepada hitam berhampiran loji IWK di Jalan Simbang 19 di mana ia berada dalam kawasan pentadbiran MBIP,” katanya.