Dalang tipu pakej umrah dicekup

Telefon dan kad bank yang dirampas daripada suspek untuk siasatan lanjut
Telefon dan kad bank yang dirampas daripada suspek untuk siasatan lanjut
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita bergelar 'Datuk' bersama pembantu peribadinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tipu pakej umrah tidak wujud melibatkan 19 mangsa di negeri ini dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM41,000.

Suspek berusia 33 tahun dan pembantunya berusia 22 tahun ditahan ketika berada di sebuah pusat beli belah di Shah Alam, Selangor kira-kira jam 7 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek dari Shah Alam itu dipercayai perancang utama kes penipuan pakej umrah yang tidak wujud yang dilaporkan di negeri ini termasuk di Temerloh, Bentong, Cameron Highlands dan Jerantut.

Menurutnya, susulan penahanan dua wanita itu, pihaknya merampas dua telefon bimbit dan kad bank milik salah seorang suspek untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Temerloh pagi ini," katanya.

Mohd Wazir berkata, penahanan dua suspek itu susulan laporan polis dibuat salah seorang mangsa berusia 62 tahun dari Temerloh Mei lalu mendakwa kerugian RM2,200 selepas menerima tawaran pakej umrah yang ditawarkan sebuah syarikat melalui seorang wanita.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang peniaga ditawarkan peluang itu pada 21 November tahun lalu dengan kos RM7,500.

“Bagaimanapun mangsa hanya perlu membayar RM2,200 manakala RM5,000 lagi ditaja seorang penaja berpangkat 'Datuk',” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, kerana tidak mahu terlepas peluang, mangsa membuat bayaran kira-kira seminggu selepas menerima tawaran melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat dan dia bersama peserta lain dimaklumkan akan berlepas ke tanah suci pada 1 Disember tahun lalu.

Katanya, tarikh berlepas itu kemudiannya ditunda dan peserta diberi peluang menarik diri namun wang mereka akan dikembalikan dalam masa tiga minggu.

“Bagaimanapun mangsa mendakwa tidak menerima kembali wang seperti dijanjikan sebaliknya hanya dokumen berkaitan yang diserahkan dipulangkan,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, dua wanita dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes penipuan tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 55 dan 65 tahun itu ditahan secara berasingan di Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh untuk perintah tahanan reman.

Susulan penahanan dua suspek itu, polis turut merampas kad bank milik mereka untuk siasatan lanjut.