Bukan senang mahu pilih ikon

Paparan skrin antara berita berkaitan kontroversi pelantikan Chef Wan sebagai Tokoh Ikon Felda 2019.
Paparan skrin antara berita berkaitan kontroversi pelantikan Chef Wan sebagai Tokoh Ikon Felda 2019.
A
A
A

SEJAK semalam tular tentang kenyataan Ikon Felda yang baharu dilantik, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan yang melabelkan orang tanah rancangan itu sebagai ‘pemalas’.

Susulan status ‘panas’ di laman Twitter beliau itu, chef selebriti itu menerima pelbagai kecaman pelbagai pihak termasuk netizen di media sosial.

Biarpun Chef Wan menjelaskan, kenyataan beliau itu telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak, namun ia tidak mampu meredakan kemarahan umum terutamanya golongan peneroka Felda.

Ada yang mendesak Felda menarik balik pelantikan Chef Wan sebagai ikon agensi itu dan tidak kurang juga mempersoalkan kredibiliti bapa tunggal itu untuk mewakili imej golongan peneroka.

Biar apapun persoalan yang melingkari kontroversi Chef Wan itu, apa yang perlu diambil perhatian serius oleh pihak lain adalah bagaimanakah memilih calon sesuai untuk diangkat menjadi ikon.

Pemilihan seseorang individu yang ingin diangkat sebagai ikon sesebuah agensi, perniagaan mahupun bidang berkaitan tidak hanya dilihat daripada rekod-rekod kejayaannya sahaja.

Kriteria seseorang ikon itu perlu merangkumi keseluruhan kehidupannya; kisah kejayaan; keperibadian; pertuturan dan pembawaan wataknya di khalayak ramai.

Ini kerana ikon yang dipilih itu secara tidak langsung akan membawa imej positif kepada pihak yang melantiknya.

Artikel Berkaitan:

Jika hanya rekod cemerlangnya sahaja yang diutamakan tapi elemen-elemen keperibadian ikon itu ‘ke laut’, ia hanya memberikan implikasi negatif kepada pihak yang diwakilinya.

Begitu juga individu yang dilantik menjadi ikon. Kisah kejayaan sahaja tidak cukup. Cara berfikir, tutur kata dan tingkah laku juga perlu digerakkan seiring dengan status ikon itu.

Alasannya cukup mudah; seseorang ikon menjadi inspirasi atau ikutan kepada mereka yang diwakilinya. Kalau banyak perkara negatif, bagaimana dia mahu dijadikan contoh kepada orang lain.

Jadi kepada mereka yang mahu melantik seseorang itu menjadi ikon perlu berhati-hati dalam memilih calon.

Sementara calon ikon pula perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjadi seorang public figure.