Pindaan Akta Perikanan 1985 dilulus Dewan Rakyat

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah membuat permohonan bagi mengembalikan semula Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan kepada RM300 pada belanjawan akan datang.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub menegaskan pihaknya tidak akan mengabaikan nasib golongan nelayan dan berusaha membantu kehidupan seharian mereka.

"InsyaAllah ekonomi kita bagus, kita akan kembalikan kepada RM300. Saya tidak pernah lupa kepada para nelayan ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata kementerian juga meneliti pemberian insentif dan subsidi di peringkat output, iaitu bergantung kepada hasil yang dikeluarkan nelayan.

"Lebih banyak ikan yang ditangkap lebih banyak subsidi dan insentif akan diperoleh mereka," katanya menambah mekanisme pelaksanaan insentif dan subsidi seumpama itu perlu dibuat dengan teliti bagi mengelak berlakunya sebarang masalah pada masa akan datang.

Katanya, kementerian juga akan membantu golongan isteri nelayan untuk memulakan perniagaan kecil bagi meningkatkan kehidupan keluarga mereka.

Sementara itu, Salahuddin berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas dengan menenggelamkan vesel nelayan asing yang menceroboh perairan negara ini.

"Vesel kayu kita tidak boleh tenggelamkan kerana kayu yang pecah akan timbul (di permukaan) dan mengundang masalah, jadi kita akan fikir cara terbaik bagi memusnahkannya. Vesel besi kita boleh tenggelamkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan beberapa ahli Parlimen mengenai hukuman sebat dan 'tembak apabila nampak’ kepada nelayan warga asing yang menceroboh tidak boleh dilaksanakan kerana Malaysia perlu mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut.

Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 itu kemudian diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat.

Melalui RUU itu, denda maksimum bagi pemunya atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia dicadang dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Sidang dewan bersambung esok. - Bernama