Dewan Ulamak Pas Selangor kesal KKM lantik transgender

Dewan Ulama PAS Selangor kesal dengan lantikan seorang transgender iaitu Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanisme (CCM) 2019-2021 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Gambar kecil: Rizuan Rahmat
Dewan Ulama PAS Selangor kesal dengan lantikan seorang transgender iaitu Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanisme (CCM) 2019-2021 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Gambar kecil: Rizuan Rahmat
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Selangor kesal dengan lantikan seorang transgender iaitu Rania Zara Medina sebagai Ahli pertubuhan Country Coordinating Mechanism (CCM) 2019-2021 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketua Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor Rizuan Rahmat berkata, CCM merupakan sebuah badan yang mewakili negara untuk menyediakan permohonan dan mendapatkan dana daripada Global Fund untuk penyakit Aids, malaria dan sebagainya.

"Mereka yang dilantik dalam jawatankuasa ini perlulah terdiri daripada mereka yang mempunyai integriti yang boleh mewakili suara negara dengan bijak dan matang.

"Apabila negara mengambil kelompok dari trangender, secara tidak langsung, ia mengiktiraf kelompok yang mempunyai kecelaruan identiti bagi mewakili negara," katanya pada satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, cukup banyak orang yang jauh lebih layak untuk mewakili rakyat Malaysia, tetapi kenapakah kumpulan ini yang diutamakan.

"Sebelum ini, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf tampil ke udara bersama seorang ratu transgender, Nisha Ayub dalam satu siaran televisyen.

"Adakah ini aplikasi konsep Rahmatan lil Alamin yang akhirnya membawa kepada menggadaikan prinsip Islam dan nilai budaya Melayu Malaysia?," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan mak nyah dalam CCM cetus kontroversi

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia melantik seorang lelaki dengan penampilan wanita, Rania Zara Medina sebagai ahli jawatan kuasa sebuah pertubuhan CCM mendapat kritikan ramai di media sosial.

Pelantikan tersebut menjadi panas selepas Rania Zara sendiri semalam membuat pengesahan mengenai pelantikan itu di akaun Facebook miliknya.

Rania Zara turut memuat naik surat pelantikannya yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada 25 Jun lalu.

Difahamkan Rania Zara mewakili komuniti mak nyah di negara ini dalam CCM.

"Akhirnya, segala persoalan telah terjawab. Undian demi undian, pencalonan demi pencalonan serta ujian demi ujian telah berjaya ditempuhi.

"Hari ini (semalam) pelantikan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia telah dinoktahkan.

"Saya dilantik sebagai TG (transgender) Representative for Country Coordinating Mechanism (CCM). Surat lantikan juga akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye.

"Dengan ini, saya dengan rendah hati ingin berterima kasih kepada seluruh komuniti dan penyokong-penyokong saya dari mulanya pencalonan ini berlaku sehinggalah kepada lantikan ini.

"Tanpa kepercayaan anda pasti saya tidak akan dapat menggalas tanggungjawab ini. Saya anggap ini amanah daripada kalian semua. Saya akan cuba lakukan yang terbaik demi kita semua," kata Rania Zara dalam status Facebooknya.

Difahamkan Rania Zara bukanlah transgender pertama yang dilantik menjadi ahli jawatankuasa itu selepas beberapa wakil antaranya Vee Izhar pernah dipilih sebelum ini.

Berdasarkan laman web Global Fund, CCM ialah ahli jawatankuasa kebangsaan di setiap negara yang mengemukakan permohonan pembiayaan kepada Global Fund bagi pihak seluruh negara.

Mereka termasuk wakil daripada kerajaan, sektor swasta, NGO, orang ramai dan masyarakat yang hidup dengan penyakit terutamanya HIV/AIDS.

Bagaimanapun pelantikan Rania Zara menjadi perhatian ramai sehingga menimbulkan kontroversi apabila didakwa kerajaan seolah-olah mengiktiraf komuniti mak nyah sehingga dilantik dalam sebuah pertubuhan peringkat kebangsaan.