Belum terlewat Selangor laksana dasar lantikan tetap - Cuepacs

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Adnan Mat (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Adnan Mat (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan masih belum terlewat bagi kerajaan Selangor melaksanakan semula dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang berkhidmat lebih 15 tahun seperti disarankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2016.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya yakin kerajaan Selangor amat prihatin mengenai kebajikan penjawat awam selain sentiasa menghargai setiap jasa dan pengorbanan yang dicurahkan mereka selama ini.

Menurutnya, difahamkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor akan membincangkan mengenai perkara berkenaan.

"Kita menyambut baik jaminan daripada Menteri Besar Selangor untuk menyemak semula keputusan kerajaan negeri membatalkan dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun.

"Cuepacs menyifatkan tindakan kerajaan Selangor membatalkan serta merta dasar yang digubal JPA berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan tetap itu adalah sebagai terburu-buru dan tidak cermat.

"Jadi kita bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara ini selain amat yakin bahawa kepimpinan Menteri Besar Selangor bijak dalam mengendalikan situasi berlaku ketika ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa, media melaporkan tindakan kerajaan Selangor membatalkan serta-merta Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak yang berkhidmat melebihi 15 tahun seperti diputuskan sebelum ini, memberi gambaran kerajaan negeri tidak prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Susulan itu, Cuepacs yang kecewa dan kesal dengan tindakan kerajaan Selangor dan mahu Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Bagaimanapun Amirudin menyatakan pihaknya akan menyemak semula kenyataan Cuepacs yang kesal dengan tindakan kerajaan Selangor membatalkan Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak berkhidmat lebih 15 tahun.

Amirudin berkata, perkara itu akan disemak semula dengan anggota MMKN dalam perjumpaan akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, tidak wajar untuk sesebuah kerajaan negeri membatalkan semula pelaksanaan sesuatu dasar yang bagus dan membawa kebaikan kepada kakitangan mereka.

Jelasnya, setiap pekerjaan sentiasa mahukan pembangunan dalam kerjaya masing-masing dan begitu juga dengan penjawat awam yang berkhidmat di agensi serta jabatan di bawah kerajaan negeri.

"Suatu perkara yang amat mendukacitakan jika aspek pembangunan kerjaya dicantas begitu sahaja tanpa memaklumkan sebab yang munasabah.

"Oleh itu, seluruh penjawat awam di Selangor mengharapkan berita yang gembira daripada kepimpinan kerajaan Selangor," ujarnya.

ARTKEL BERKAITAN: Kaji semula pembatalan dasar pelantikan tetap kakitangan kontrak

MB Selangor semak semula isu batal lantikan tetap