PKR solidariti untuk Wan Ji

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan hukuman penjara dikenakan ke atas pencemarah bebas, Wan Ji Wan Hussin dianggap tidak wajar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menyifatkan Akta Hasutan 1948 sebagai perundangan 'drakonian', Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti itu akan bersolidariti untuk Wan Ji dan memastikan akta tersebut dibaiki secara dalaman.

“Saya kesal dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap Wan Ji, mujur masih ada proses rayuan, jadi ia boleh diusahakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Sultan Selangor: Wan Ji ke penjara

“Saya simpati dengan keluarga beliau dan harapkan satu keadilan dilakukan memandangkan PH kali ini tidak akan menggunakan akta-akta yang kita anggap undang-undang drakonian dan kuku besi termasuklah Akta Hasutan.

"Saya sendiri akan berusaha bertanyakan pihak kerajaan apa yang boleh diusahakan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Wan Ji yang juga ahli Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia (NUIM) daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini dihukum penjara setahun bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Ketika membacakan ringkasan penghakiman Abdul Halim berkata, kata-kata yang dinyatakan tertuduh adalah terang lagi bersuluh.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kerajaan perlu mengkaji semula semua kes melibatkan Akta Hasutan.

“Kerajan perlu kaji lihat kes melibatkan Akta Hasutan. Ini kes yang kita tahu. Mungkin ada lagi kes yang tidak mendapat liputan media ataupun orang ramai, jadi ini perkara yang boleh ditanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau datang ke Parlimen esok.

“Saya sendiri akan berusaha bertanyakan pihak kerajaan apa yang boleh diusahakan. Seharusnya pada hemat saya, kena melihat apa keadaan yang membolehkan diteruskan kes seperti ini. Cuma saya tidak pasti sama ada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) ada terima apa - apa permohonan daripada defendan untuk diteruskan atau tidak kes ini,” kata Fahmi.