Kerajaan cadang tambah tempat tahanan vesel asing: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang menambah tempat tahanan vesel bagi menempatkan bot dan kapal asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan di perairan negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi menampung lambakan bot dan kapal asing di pangkalan jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang sudah hampir penuh.

"Kita sedang memikirkan langkah-langkah seterusnya bagaimana hendak mewartakan tempat-tempat lain yang sesuai dan saya percaya akan ada peningkatan dan penahanan lebih banyak, jadi ada keperluan menyediakan ruang kapal itu," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Pas-Kuala Terengganu) yang ingin tahu usaha kerajaan menangani jumlah bot dan kapal asing yang semakin bertambah di tempat tahanan sedia ada.

Sementara itu, Muhyiddin berkata 44 vesel ditahan dan 511 vesel diperiksa dalam operasi bersepadu Ops Naga yang dijalankan beberapa agensi berkaitan seperti APMM, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan dari 2 hingga 31 Mei lepas.

Beliau berkata Ops Naga fasa kedua telah diteruskan dengan pelancaran Ops Naga Barat bermula 1 Jun lalu, berfokuskan operasi di sebelah Pantai Timur Semenanjung sehingga aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara dapat dibanteras secara maksimum.- Bernama

Artikel Berkaitan: