Lompat parti racun demokrasi

A
A
A
DRAMA wakil rakyat Umno keluar parti semacam suatu upacara yang semakin menjadi-jadi ibarat air yang terus mengalir kerana tidak disekat. Ke mana sebenarnya mereka nak pergi?

Kenapa mereka keluar dari parti Umno sedangkan semasa pilihan raya yang lalu bertanding atas nama BN.

Seorang demi seorang lopping atau melompat ke parti yang lain ibarat tidak mengiktiraf sokongan yang diberikan pengundi. Walau apa juga alasan, ramai menganggap lompat parti ini bagaikan tindakan tidak bermoral dan juga lebih mementingkan diri berbanding jemaah pengundi dan parti yang didukung semasa penamaan calon.

Lompat parti adalah racun demokrasi. Mencabuli semangat demokrasi yang luhur hanya akan berlaku jika mereka ini meletak jawatan sebagai wakil rakyat, jika tidak percaya lagi dengan parti politik yang didukung semasa PRU14.

Tindakan melompat parti sebenarnya bukanlah baharu. Sehingga suatu ketika dahulu pernah kita menggelar wakil rakyat yang suka melompat dari suatu parti kepada parti lain sebagai wakil rakyat “katak”.

Namun jika melompat parti semacam suatu acara mesti ada yang tidak kena. Masakan tidak wakil rakyat yang baru dipilih dalam PRU14 ini kebanyakan terdiri daripada ketua bahagian dan pemimpin berpengaruh telah “mengheret” sama ahli secara beramai-ramai dan serentak keluar dari Umno.

Persoalannya kenapa mereka tiada prinsip dan kekebalan mental, emosi dan perjuangan parti? Ya. Memang ramai yang menganggap bahawa prinsip tidak penting lagi dalam senario politik sekarang ini. Apatah lagi berbicara mengenai maruah. Semuanya perlu dicari jawapan yang tuntas dan berfakta.

Adakah sudah wujud janji manis atau tawaran menarik sehingga sanggup menggadai roh perjuangan. Mungkin wakil rakyat yang keluar parti ada alasannya tersendiri. Malah kita susah untuk menerima apabila pemimpin senior Umno keluar parti dan memohon untuk menjadi ahli Bersatu.

Konspirasi politik ini memang diduga memandangkan Pakatan Harapan cuba mengukuhkan kerusi di Parlimen apatah lagi parti Bersatu merupakan komponen yang mempunyai kerusi terkecil, maka wujud tawar-menawar. Ironinya cara berpolitik begini bukanlah baharu dan sering berlaku dalam negara demokrasi. Namun di pentas demokrasi lebih kepada gabungan parti politik bukannya melompat parti yang kita saksikan sekarang.
Artikel Berkaitan:


Walau apa pun, kesedaran bahawa hak untuk memilih dan menentukan hala tuju politik merupakan hak individu. Tetapi bagi wakil rakyat mereka perlu juga mengambil kira sentimen dan pandangan pengundi sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini kerana mereka dipilih rakyat. Pengundi yang menentukan naik dan turun darjah politik wakil rakyat.

Wakil rakyat sudah ada template jawapan kenapa mereka keluar dan melompat parti. Antara alasan klise dan popular yang diberikan adalah hala tuju yang didukung selepas gagal dalam PRU14 tidak lagi selaras dengan perjuangan mereka.

Mungkin kita boleh tanya kembali kepada parti pemerintah sekarang sama ada PKR-DAP-Amanah atau Pas yang juga merupakan mantan pembangkang.

Berapa ramai yang melompat parti ketika mereka kalah beberapa siri pilihan raya umum? Memang ada tetapi kesnya terpencil. Namun jika melompat parti bagai “rombongan Cik Kiah” must be something wrong somewhere. Inilah lambang citra atau imej berpolitik di Malaysia masa kini.

Malah rakan saya seorang profesor dalam bidang politik dari United Kingdom pernah menyelar bahawa “perjuangan mereka demi rakyat atau kelangsungan politik sendiri?

Kenapa mudah dan rapuhnya semangat perjuangan politik mereka, ujarnya lagi. Ini memandangkan mungkin sukar untuk individu yang pernah berada di tampuk kuasa hidup dalam keadaan serba kekurangan sebagai pembangkang.

Drama lompat parti ini telah membingungkan pengundi dan rakyat. Sampai bila rakyat dibiarkan terpinga-pinga dengan kerenah dan “kegilaan” wakil rakyat melompat parti sesuka hati. Lalu kita kini terfikir perlukah lagi ada pilihan raya kalau wakil rakyat yang dipilih tidak amanah, mengkhianati pengundi dan memungkiri janji melompat sesuka hati.

Setakat rencana ini ditulis didapati parti Bersatu dan Pakatan Harapan yang menjadi tempat “berlindung” si pelompat parti ini tidak lagi memberi keputusan muktamad untuk menerima penghijrahan ini.

Bukan semudah menukar baju. Hantar borang terus diterima. Prosedur dan syarat yang diberikan oleh PKR atau Pakatan Harapan adalah perlunya usaha memilih, menapis, dan menyaring wakil rakyat yang betul-betul bersih sahaja.

Wakil rakyat yang mempunyai trek rekod kurang enak dan dikaitkan dengan kes rasuah atau tidak berintegriti mungkin ditolak. Ini kerana Pakatan Harapan tidak mahu menerima “sampah” yang mungkin boleh mencemari organisasi ini.

Mungkin permohonan mereka mengambil masa sehingga setahun atau lebih untuk diputuskan. Dalam masa sama telah wujud desakan daripada rakan pakatan agar si pelompat ini tidak diterima.

Sehingga DAP rela dan sanggup untuk keluar dari pakatan jika menerima si pelompat ini. Rakan pakatan menganggap jika diterima si pelompat sebagai mengkhianati perjanjian dan persetujuan yang telah dibina sebelum PRU14 lagi.

Kita tidak boleh biarkan adegan lompat parti sebagai petanda buruk politik Malaysia terus berlaku.

Sudah sampai masanya kerajaan menggubal undang-undang anti lompat parti bagi memastikan kesetiaan dan integriti dalam politik. Kita tidak mahu pendukung politik dan wakil rakyat yang meracuni semangat demokrasi.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM