RTM bersedia beralih ke siaran digital

Tuanku Syed Faizuddin dan Abdul Muis (tengah) selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Karnival Futsal Piala Pengarah Penyiaran Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin dan Abdul Muis (tengah) selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Karnival Futsal Piala Pengarah Penyiaran Perlis.
A
A
A

KANGAR - Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia beralih daripada penyiaran secara analog kepada siaran televisyen (TV) digital.

Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii berkata, siaran percubaan menggunakan dua saluran digital, iaitu saluran Berita Ehwal Semasa (BES) yang memaparkan berita 24 jam dan saluran RTM Sports berdefinisi tinggi (HD) amat memuaskan.

Menurutnya, percubaan setakat ini berjaya dan memenuhi tahap diperlukan.

“Proses peralihan untuk menamatkan siaran analog berjalan lancar namun belum menetapkan tarikh sebenar siaran digital akan beroperasi sepenuhnya,” katanya, ketika ditemui pada Karnival Futsal Piala Pengarah Penyiaran Perlis 2019.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, proses peralihan daripada analog ke digital dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

Sementara, karnival bersempena ulang tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-76 itu turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang.

Pengarah Penyiaran Perlis, Ahmad Zaki Mustafa berkata, karnival futsal yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,000 itu disertai 71 pasukan dari dalam dan luar Perlis, dengan tiga kategori iaitu terbuka lelaki, bawah 17 tahun lelaki dan bawah 12 tahun lelaki.

Pasukan ‘The Fighters A’ menjuarai kategori bawah 12 tahun, membawa pulang hadiah RM800 manakala kategori bawah 17 tahun dimenangi pasukan ‘Ally B’ menerima RM1,000 manakala kategori terbuka dimenangi pasukan ‘MFC’ meraih wang tunai RM2,000.

Artikel Berkaitan: