Duda diberkas bakar kereta Mufti Perlis

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

KANGAR - Seorang duda yang dipercayai terbabit dengan kejadian bakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, 22 Mac lalu, diberkas polis.

Tangkapan dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di hadapan sebuah rumah di Kampong Sekolah, Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, tiga buah telefon bimbit, tiga keping kad sim berserta tiga kad memori dirampas daripada penganggur berusia 48 tahun itu.

Menurutnya, semakan mendapati, suspek yang dikesan positif dadah methamphetamine ini mempunyai 11 rekod jenayah di pelbagai daerah selain dua rekod dikehendaki.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat membakar kereta Mufti Perlis bersama seorang rakannya yang telah ditahan pada 19 Mei lalu," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganggur diberkas bakar kereta Mufti Perlis

Noor Mushar berkata, siasatan masih dijalankan dan suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan di Kampung Jelempok, Arau kira-kira jam 2.45 pagi, 19 Mei lalu.

Soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dengan kes bakar kereta Mufti Perlis dengan bayaran upah RM500. Suspek dipercayai diupah oleh seorang lelaki berusia 33 tahun.

Dipercayai motif kejadian adalah susulan kejadian pemecatan imam pada Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Asri mendakwa kejadian kereta rasmi kegunaannya dibakar dalam satu kejadian di kediaman rasminya Jalan Persiaran Wawasan, Perlis, adalah satu aktiviti keganasan.

Untuk rekod, kejadian jenayah berbaur ugutan dan ancaman yang membabitkan golongan agamawan di Perlis adalah kali kedua sejak tahun lalu.