12,450 keping DVD dirampas

Mohd Sakhri (tengah) menunjukkan DVD yang dirampas bersama pegawainya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Sakhri (tengah) menunjukkan DVD yang dirampas bersama pegawainya pada sidang media di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas 12,450 keping DVD yang tidak mempamerkan label tulen cakera optik di dua premis di Gopeng dan Kampar petang semalam.

Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Mohd Sakhri Mohd Salleh berkata, nilai rampasan dalam serbuan yang dilakukan pada jam 2 petang melibatkan sembilan anggota KPDNHEP Perak itu berjumlah RM81,250.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati peniaga telah disyaki menawarkan untuk membekalkan cakera optik tanpa label cakera optik dan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 4(4)(a) Peraturan Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010.

“Sehubungan itu, pihak KPDNHEP Perak telah bertindak menyita cakera optik sebanyak 12,450 unit dan kesemua barang sitaan disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Perak, di sini hari ini.

Menurut Mohd Sakhri, kesemua DVD yang dirampas merupakan DVD filem antarabangsa serta tempatan dan dipercayai dijual dengan harga antara RM6 hingga RM7 sekeping di dua premis yang sudah lama beroperasi.

"Kedua-dua majikan telah dipanggil untuk dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Peraturan 4(4)(a) Peraturan Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 yang boleh dihukum denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Saya juga ingin menasihatkan para peniaga cakera optik untuk mendapatkan label berkenaan terlebih dahulu sebelum menjualnya kepada orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan: