Tabika Kemas bukan lagi tempat menyanyi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEIRING peredaran masa, pertumbuhan kelas bimbingan kanak-kanak turut meningkat.

Pendek kata jika ibu bapa sanggup melabur, anak-anak pada usia tiga tahun pun sudah dihantar ke sekolah. Pilih sahaja pusat pendidikan yang ibu bapa mahu, semuanya tersedia dengan pelbagai jenis tawaran dan pakej bayarannya.

Tabika Kemas merupakan pusat bimbingan yang menjadi pilihan ibu bapa terutama di luar bandar.

Taman bimbingan kanak-kanak di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat itu memang sudah lama wujud dan sangat popular.

Meskipun Tabika Kemas mengguna pakai Kurikulum Standard Pra-Sekolah Kebangsaan iaitu memperkembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani dan rohani, tetapi kewujudannya banyak dikaitkan dengan persepsi yang kurang manis.

Tabika Kemas dikatakan tidak mempunyai objektif yang jelas.

Kanak-kanak yang dihantar ke tabika itu pula lebih banyak ‘diasah’ bakat nyanyian dan mewarna, selebihnya dijamu makan-makan - pendek kata tidak ada pendidikan yang luar biasa!

Sebenarnya, keputusan kerajaan Pakatan Harapan mengekalkan Tabika Kemas di seluruh negara menunjukkan peranan pusat bimbingan ini masih diperlukan malah amat dialu-alukan rakyat golongan miskin, berpendapatan rendah mahupun sederhana.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Kemas akan sentiasa memastikan pendidikan awal kanak-kanak dipertingkatkan dengan menyediakan program-program berkualiti.

Beliau melancarkan modul pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Stream) untuk Tabika Kemas bagi mempersiapkan kanak-kanak dengan kemahiran pendidikan berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Program Kemas Pintar Stream itu dibangunkan seiring dengan gelombang Revolusi Industri 4.0, dilengkapi dengan simulasi atau latihan praktikal yang bersifat interaktif (e-Stream) berkaitan tema industri seperti astronomi, marin, minyak dan gas, kesihatan, robotik dan automotif sekali gus menarik minat kanak-kanak untuk seronok ke sekolah.

Ini adalah satu inisiatif yang baik dan paling penting anak-anak tabika ini tidak lagi hanya diajar menyanyi tetapi mampu menyerlahkan potensi mereka dalam bidang sains dan teknologi.