3 bot pelancong ditahan bawa lebih penumpang

Rohizan sedang melakukan pemeriksaan terhadap bot persiaran pelancong yang melanggar syarat lesen membawa lebihan penumpang di perairan Selat Penarak, petang semalam.
Rohizan sedang melakukan pemeriksaan terhadap bot persiaran pelancong yang melanggar syarat lesen membawa lebihan penumpang di perairan Selat Penarak, petang semalam.
A
A
A

LANGKAWI - Tiga pengusaha bot persiaran pelancong ditahan apabila mengabaikan aspek keselamatan dengan membawa lebihan penumpang di perairan Selat Penarak, petang semalam.

Ketiga-tiga bot terbabit didapati membawa lebihan penumpang berkali ganda, iaitu antara 30 hingga 60 orang sedangkan syarat lesen hanya membenarkan had 12 penumpang untuk satu perjalanan.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, salah sebuah bot layar yang ditahan itu turut tidak memiliki lesen operasi sah bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil terhadap pengusaha bot persiaran di perairan Langkawi kerana tidak menitikberatkan aspek keselamatan pelancong, Pasukan Polis Marin Langkawi tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, dalam operasi bersepadu sekitar 5.30 petang semalam, bot layar pertama dikesan melakukan kesalahan dengan membawa seramai 30 orang pelancong dari China, berbanding had dibenarkan seramai 12 orang.

“Bot kedua ditahan kira-kira 15 minit kemudian atas kesalahan membawa 35 pelancong. Sekitar 6.00 petang, sebuah lagi bot layar ditahan atas kesalahan sama, membawa 60 orang penumpang selain beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya.

Rohizan berkata, kesemua kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Laut Langkawi untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan: