Lapan warga asing ditahan bawa 10kg ganja

Ketulan mampat disyaki ganja diisi dalam beg yang ditemui dalam kereta dinaiki lapan warga asing.
Ketulan mampat disyaki ganja diisi dalam beg yang ditemui dalam kereta dinaiki lapan warga asing.
A
A
A

ALOR SETAR - Lapan warga asing termasuk dua wanita ditahan kerana memiliki 10 kilogram (kg) ganja pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, semua suspek berusia 19 hingga 48 tahun itu ditahan sepasukan anggotanya yang terserempak sebuah kereta Perodua Kembara mencurigakan ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Padang Setul pada jam 4 pagi.

"Polis mengekori kenderaan terbabit sehingga berhenti di kebun getah Kampung Padang Setul, Kuala Nerang dan pemeriksaan mendapati terdapat tujuh penumpang lagi, iaitu tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Thailand dan dua wanita Myanmar.

"Polis berjaya menemui beg mengandungi ketulan mampat ganja dan satu guni disyaki ganja," katanya.

Beliau berkata, empat suspek terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, manakala empat lagi mempunyai pasport tetapi tiada cop rasmi Jabatan Imigresen untuk masuk ke negara ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen.

"Semua tangkapan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 10 hingga 17 Mei ini," katanya.