JAS pandang serius pencemaran sungai

Chen Choon semasa persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sememangnya memandang serius terhadap masalah pencemaran air sungai di Johor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, berikutan itu, JAS mempertingkat penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Menurutnya, dalam hal ini, efluen daripada kilang kelapa sawit, efluen dan kumbahan dari industri dan loji-loji pengolahan kumbahan perlulah diolah terlebih dahulu dan mematuhi had ditetapkan di bawah akta ini sebelum dilepas ke mana-mana sungai.

"Punca-punca yang didapati tidak mematuhi had-had pelepasan pencemar yang ditetapkan akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Di samping penguatkuasaan, pihak industri juga dilaksanakan menjalankan Guided Self Regulation (GSR) yang mana mereka perlu menjalankan pemantauan setiap hari terhadap prestasi sistem pengolahan efluen industri.

"Selain itu, JAS telah melaksanakan program 'pollution source survey' iaitu mengenal pasti kesemua punca dan menjalankan program pengawasan kualiti air sungai," katanya.

Chen Choon (PH-Jementah) berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) tentang langkah jangka panjang bagi memastikan kualiti air sungai tidak tercemar oleh sisa kilang dan ladang ternakan semasa persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata, JAS tidak mempunyai peruntukan khusus untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap ladang ternakan.

"Namun, JAS turut mengemukakan ulasan kepada jawatankuasa pasukan teknikal yang dipengerusikan oleh pegawai perkhidmatan veterinar daerah pada peringkat awal sebelum pengoperasian ladang ternakan tersebut.

"JAS turut menilai kesesuaian lokasi ladang sekiranya ianya terletak di hulu muka sauk loji rawatan air (LRA) atau berdekatan dengan alur sungai.

"Selain itu, program pendidikan kesedaran alam sekitar dan penyampaian maklumat juga dilaksanakan JAS bagi meningkatkan kesedaran," katanya.