Turunkan had umur pengundi: Bersediakah SPR lakukan perubahan?

Mustafa Shah Abdul Hamid
Mustafa Shah Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Sekiranya had umur pengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun, adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk melakukan perubahan sebegitu.

Persoalan itu dilontarkan Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid susulan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menurunkan had umur pengundi.

Menurutnya, perkara pokok yang harus diberi perhatian sekarang adalah menyelesaikan masalah belia dan masyarakat yang masih ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Ini yang menjadi kebimbangna utama kita. Sekiranya had umur diturunkan, adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersedia membenarkan parti-parti politik memasuki sekolah?

“Ini kerana bagi pelajar Tingkatan Enam, mereka sudah pun berumur 18 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Ahli Parlimen pembangkang memaklumkan mereka sedia menyokong usul kerajaan meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun jika ia merangkumi dua cadangan mereka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara pertama adalah pindaan itu perlu memasukkan peruntukan yang membolehkan warganegara berusia 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pengundi.

Cadangan kedua, kerajaan perlu meminda Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun berbanding usia 21 tahun ketika ini seiring pindaan Perkara 119(1).

Artikel Berkaitan:

“Blok pembangkang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bawa cadangan ini menerusi usul persendirian. Kita sedang siapkan draf usul ini dan ia akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat secepat mungkin.

“Seandainya pindaan Perkara 119(1) yang akan dibawa kerajaan tidak sama dengan apa yang hasrat kami, pembangkang tidak akan sokong,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq berkata pindaan usul itu merupakan usaha bagi mengutamakan golongan muda yang bakal mencorakkan masa hadapan Malaysia.

Menurutnya, usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun itu bersifat bipartisan dan mengangkat semangat permuafakatan semua ahli Dewan Rakyat.