Si manis tangkas kendali senjata api

Nornadiah Syarah menduduki tempat ketiga dalam acara Falling Plate dalam Ujian Kemahiran Menembak Pasir Mas 2019.
Nornadiah Syarah menduduki tempat ketiga dalam acara Falling Plate dalam Ujian Kemahiran Menembak Pasir Mas 2019.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Mengendalikan senjata api bukan satu tugas mudah buat seorang gadis kerana ia memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi.

Namun, bagi Konstabel Nornadiah Syarah Mohd Salehuddin, 25, perkara itu bukan halangan kerana telah didedahkan semasa mengikuti latihan asas sebagai anggota polis sebelum ini.

Menariknya, anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas itu mencipta kejutan menjadi peserta wanita tunggal menyertai pertandingan menembak di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di Rantau Panjang.

Nornadiah yang menyertai acara Falling Plate dalam Ujian Kemahiran Menembak Piala Ketua Polis Daerah (KPD) Pasir Mas 2019 mengakui sedikit gementar berdepan pesaing senior.

“Menembak memerlukan fokus dan disiplin yang tinggi kerana umum mengetahui tentang bahayanya senjata. Saya bersyukur kerana kerjaya sebagai polis mendedahkan saya kepada penggunaan senjata api dengan cara yang betul,” katanya.

Menurutnya, dia amat meminati aktiviti lasak dan gembira dapat menabur bakti sebagai anggota polis.

Nornadiah Syarah menjadi peserta wanita tunggal menyertai pertandingan menembak, di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di Rantau Panjang.
Nornadiah Syarah menjadi peserta wanita tunggal menyertai pertandingan menembak, di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di Rantau Panjang.

“Saya baru sahaja enam bulan berkhidmat sebagai anggota polis selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Langkawi Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah bakat saya dihargai malah diberi peluang menyertai pertandingan menembak,” katanya.

Anak ketiga daripada lima adik beradik yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu pernah menyertai beberapa pertandingan menembak sebelum ini.

Pada acara Falling Plate dalam Ujian Kemahiran Menembak Pasir Mas 2019 Nornadiah Syarah menduduki tempat ketiga.