Kenyataan Suboh kepada SPRM daripada mulut sendiri: Mahkamah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi utama perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), hari ini tetap dengan pendirian bahawa kenyataan yang diberikan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah daripada mulutnya sendiri.

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin, 68, turut menolak cadangan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, bahawa beliau ditunjuk ajar oleh pegawai-pegawai SPRM, atau Timbalan Pendakwa Raya atau berbincang dengan mereka, semasa menyediakan kenyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.

Perkara itu timbul semasa Harvinderjit bertanya sekiranya Suboh tahu bahawa beberapa bahagian daripada kenyataan saksi berhubung peranan Najib dalam syarikat itu menyamai dengan kenyataan saksi Tan Sri Ismee Ismail (bekas pengerusi lembaga SRC International).

Perenggan itu turut menyatakan bahawa anggota lembaga SRC akan bertindak selaras dengan nasihat penasihat SRC, yakni Najib.

Harvinderjit: Semuanya dalam kenyataan saksi anda, tiap satu perkataan, semuanya adalah dari mulut anda sendiri?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Anda pasti, Datuk?

Suboh: Ya.

Artikel Berkaitan:

Harvinderjit: Datuk, saya nak tunjukkan kepada anda kenyataan saksi oleh Tan Sri Ismee. Boleh anda lihat perenggan sembilan kenyataan itu, dan juga perenggan enam kenyataan anda. Boleh anda lihat ia menggunakan perkataan yang sama.

Suboh: Saya hanya beri kenyataan. Saya katakan (dictated) kenyataan saya kepada pegawai SPRM, dan selepas dua hari, saya ditunjukkan kenyataan itu, dan saya berpuas hati dengannya.

Menjawab satu lagi soalan berhubung pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Suboh berkata beliau tidak tahu bagaimana dan ke mana wang itu dipindahkan.

SRC memperoleh pinjaman RM2 bilion pada 28 Ogos 2011, manakala pada 28 Mac 2012, syarikat itu diberikan pinjaman kedua RM2 bilion daripada KWAP.

Harvinderjit: Sama ada mana-mana wang RM2 bilion ini masuk ke akaun SRC, dan kemudiannya keluar sehingga sampai ke lain-lain bank, Datuk tidak dapat pastikan?

Suboh: Tidak

Harvinderjit: Berhubung pinjaman kedua RM2 bilion, adakah Datuk tahu bahawa pada 28 Mac 2018, wang itu masuk ke dalam akaun SRC dan dua hari kemudian ia dipindahkan ke akaun lain? Anda tidak dapat pastikan, betul?

Suboh: Ya

Harvinderjit: Bagaimana RM4 bilion digunakan pun, anda tidak dapat nyatakan.

Suboh: Ya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bersambung Isnin, dengan Harvinderjit menyambung pemeriksaan balas ke atas Suboh.

Harvinderjit meminta saksi supaya tidak berbincang mengenai kes itu dengan sesiapa, dan Hakim Mohd Nazlan mengingatkan saksi supaya tidak bercakap mengenai keterangannya dengan lain-lain saksi.

Mengikut undang-undang, seorang saksi yang telah mengangkat sumpah dalam perbicaraan kes di mahkamah, dilarang daripada berbincang mengenai kes itu dengan sesiapa jua.