Peningkatan jumlah tempat di matrikulasi tidak jejas lepasan STPM ke universiti awam

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan pertambahan 15,000 tempat untuk program matrikulasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) tidak akan menjejaskan pengambilan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke peringkat ijazah pertama di universiti awam.

Beliau berkata terdapat kekosongan tempat di universiti awam setiap tahun, termasuk kira-kira 5,000 tempat dalam bidang sains.

"Tambahan 15,000 tempat untuk memasuki universiti awam melalui matrikulasi tidak akan jejaskan pengambilan lepasan STPM, kerana daripada 40,000 tempat ditawarkan, tidak semuanya mengambil tempat itu (memasuki matrikulasi),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar (PH-Segamat) yang ingin tahu isu kebimbangan pelajar STPM menghadapi kesukaran mendapatkan tempat di universiti awam ekoran pertambahan jumlah pelajar matrikulasi KPM.

Jelasnya, ruang kemasukan ke universiti awam tidak bergantung semata-mata dengan STPM dan matrikulasi kerana terdapat laluan lain menerusi diploma dan pusat asasi universiti masing-masing.
Artikel Berkaitan:


Pada April lepas, Jemaah Menteri memutuskan bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM ditambah kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini dan mengekalkan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera.

Menjawab soalan asal mengenai keutamaan antara lepasan STPM dan matrikulasi untuk diterima masuk ke universiti awam, Maszlee berkata kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam semua proses kemasukan pelajar sejak sesi 2002/2003 iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. - Bernama