Orang asli perlu bekalan air bersih

Abd Nasir (kanan) mendengar luahan Razali (tengah) dan masyarakat orang asli Baling.
Abd Nasir (kanan) mendengar luahan Razali (tengah) dan masyarakat orang asli Baling.
A
A
A

BALING - Seramai 60 masyarakat orang asli Kampung Lubuk Legong dalam DUN Bayu berharap kerajaan dapat menyediakan bekalan air bersih di kampung mereka.

Tok Batin, Razali Kulim berkata, ini kerana bekalan air tidak dapat disalurkan kepada 10 keluarga terlibat yang tinggal di kawasan tinggi.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan air di kawasan sungai bagi aktiviti membasuh baju, minum, memasak dan mandi.

"Setiap hari masyarakat di kawasan atas bukit terpaksa pergi ke sungai terletak kira-kira satu kilometer," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Lubuk Legong hari ini.

Menurutnya, pada tahun 2012, pejabat daerah Baling ada memasang paip supaya masyarakat di situ dapat menikmati perkhidmatan daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA).

"Tetapi tekanan air SADA tak sampai di kawasan ini mungkin sebab kawasan tinggi. Jadi kami amat berharap pihak berwajib menggunakan alternatif lain untuk salurkan air di kawasan ini," katanya.

Razali berkata, beliau amat bimbang dengan keselamatan anak buahnya yang hingga hari ini terpaksa menggunakan air sungai.

"Saya sangat bimbang setiap kali anak buah saya guna air sungai kerana ia tak bersih dan tak dirawat.

Artikel Berkaitan:

"Terutamanya apabila air sungai digunakan untuk diminum mendatangkan kemudaratan seperti apa yang berlaku kepada orang asli di Kelantan," katanya.

Tambahnya, majoriti pengguna air sungai adalah kanak-kanak seramai 40 orang manakala 20 lagi dewasa dan warga emas.

Sementara itu, ADUN Bayu, Abd Nasir Idris berkata, kerajaan negeri diharap dapat mencari penyelesaian alternatif kepada masalah tersebut.

"Masalah utama di sini ialah tekanan air rendah, jadi pihak berwajib perlu mencari jalan penyelesaian lain.

"Sudah pasti ada banyak lagi kaedah yang boleh kita fikirkan dan selesaikan bersama supaya masyarakat orang asli tidak dipinggirkan," katanya.