Salah guna karikatur Mahatma Gandhi

Salah satu botol dalam set kotak tersebut yang menggunakan nama dan imej karikatur Gandhi (dalam bulatan).
Salah satu botol dalam set kotak tersebut yang menggunakan nama dan imej karikatur Gandhi (dalam bulatan).
A
A
A

NEW DELHI - Sebuah kumpulan aktivis di India membantah tindakan sebuah syarikat pembuat bir di Israel menggunakan karikatur pejuang kemerdekaan, Mahatma Gandhi sebagai sebahagian daripada kempen pemasaran mereka.

Set botol kontroversi dihasilkan bersama Malka Brewery dan Negev Beers di Tel Aviv itu kononnya dipasarkan sempena menyambut ulang tahun ke-71 'kemerdekaan' Israel.

Pengerusi Yayasan Mahatma Gandhi Kebangsaan berpusat di Kerala, Eby J Jose berkata, imej itu jelas satu penghinaan terhadap pemimpin tersohor terbabit.

Jelasnya, mereka telah mengemukakan aduan kepada Perdana Menteri, Narendra Modi dan rakan sejawatannya di Israel, Benjamin Netanyahu.

Beliau berharap tindakan undang-undang akan diambil ke atas kedua-dua firma pembuat bir terbabit.

"Tindakan biadab melabel botol arak tersebut dengan nama dan imej Gandhi sememangnya perbuatan tidak wajar, tidak beretika dan tidak bermoral," tegasnya.

Menurutnya, beliau pertama kali melihat botol itu menerusi video dimuat naik seorang lelaki India yang bekerja di Israel.

"Saya terkejut melihat Bapa Negara diperlakukan seperti itu. Ia pasti menyinggung perasaan jutaan penyokong Gandhi di seluruh dunia," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada 2015, sebuah syarikat New England Brewing Co berpusat di AS perlu menamakan semula bir mereka selepas tuntutan mahkamah difailkan di India mendakwa firma itu memalukan memori pejuang kemerdekaan terbabit. - Agensi