Waytha Moorthy perlu mohon maaf

Hasnul Zulkarnain & Tan Kar Hing
Hasnul Zulkarnain & Tan Kar Hing
A
A
A

IPOH - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy disaran membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kelemahan beliau menangani isu rusuhan di Kuil Seafield sebelum ini.

Ketua Pemuda PH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pandangan itu dikemukakan susulan kejadian rusuhan dan pergaduhan membabitkan penganut kuil dan pemaju mengakibatkan tragedi kematian seorang anggota bomba dan wira negara, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim minggu ini.

"Saya berpandangan perkara pertama perlu dilakukan Waytha Moorthy adalah dengan membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kelemahan dia menangani isu Kuil Seafield.

"Mengenai desakan beliau meletak jawatan sebagai menteri sebagaimana disuarakan Armada Bersatu, saya melihat kuasa memecat Waytha Moorthy terletak pada PM (Perdana Menteri),"katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua PKR cabang Gopeng, Tan Kar Hing berkata, kerajaan PH perlu mengutamakan inisiatif siasatan penuh kes rusuhan di Kuil Seafield supaya punca kematian Muhammad Adib dan dalang sebenar pencetus rusuhan dapat dijejaki.

Menurutnya, usaha mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian terbabit amat penting bagi mengelakkan kerajaan PH membuat keputusan terburu-buru dan salah.

"Saya nampak laporan penuh penyiasatan kes rusuhan di Kuil Seafield perlu dibentangkan segera bagi mengelakkan kerajaan PH mendapat gambaran salah.

"Daripada laporan penyiasatan itu, baru kita boleh tentukan dan hukum pihak yang benar-benar bersalah,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai perkembangan senario Ahli Parlimen Umno keluar parti dan menyertai parti PH, Kar Hing yang juga Exco Kerajaan Perak turut bersetuju dengan pandangan Hasnul Zulkarnain agar kerajaan PH tegas tidak membenarkan perkara itu berterusan.

"Dalam hal ini, PKR ambil pendirian tidak menerima seorang pun ahli Umno masuk parti kami.

"Kerajaan PH harus tegas dalam isu ini supaya tidak mengecewakan rakyat yang sudah membuat pilihan untuk menolak Umno dan BN.

"PH bukan tempat mereka (Ahli Parlimen Umno) mencari teduhan dan bagi saya, paling penting adalah usaha mendekati rakyat,"katanya.