Saya tak terlibat dalam pemindahan dana SRC: Bekas Pengarah SRC

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah bukan-eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak terlibat dalam pemindahan dana daripada SRC kepada dua subsidiarinya, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Suboh, 68, saksi ke-42 mengakui demikian ketika merujuk kepada 13 salinan borang Electronic Transfer of Funds and Securities System (RENTAS) daripada akaun SRC kepada Gandingan Mentari dan Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana yang ditunjukkan oleh peguam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Transaksi bank itu melibatkan tiga transaksi antara SRC kepada Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2015 dengan jumlah RM42 juta.

Semasa sesi merekod kenyataannya yang pertama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015, Suboh mengakui bahawa tandatangan itu adalah miliknya tetapi kemudian pada 2018, semasa sesi kenyataan kedua dan ketiganya oleh badan itu, beliau mengubah kenyataannya dengan menyatakan beliau tidak ada menurunkan sebarang tandatangan pada dokumen pemindahan RENTAS.

Walaupun terdapat pertikaian kenyataan dalam enam kenyataan kepada SPRM pada 2015 dan 2018 berhubung signikannya tandatangan beliau pada surat RENTAS, Suboh akhirnya mendedahkan bahawa beliau tidak pernah menurunkan tandatangannya, semasa disoal balas oleh Muhammad Shafee pada hari ke-31 perbicaraan Najib, yang dibicarakan atas tujuh pertuduhan pelesapan dana SRC bernilai RM42 juta.

Bila ditanya oleh Muhammad Shafee tentang mengapa kenyataannya berubah, Suboh berkata semasa sesi pertama beliau tidak punya peluang meneliti dokumen kerana beliau disoal di Abu Dhabi ketika itu.

Dalam pada itu, Suboh menerangkan bahawa percutiannya ke Jakarta, Indonesia pada Mei 2018 dipendekkan akibat larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya oleh kerajaan, selepas memeriksa status imigresennya dalam talian.

Muhammad Shafee: Bila anda ke Jakarta?

Artikel Berkaitan:

Suboh: Pada hari pilihan raya (9 Mei 2018) selepas mengundi dengan isteri saya.

Bila ditanya oleh Muhammad Shafee bagaimana ia tahu tentang larangan itu, Suboh berkata dia berhubung dengan anaknya di Malaysia berhubung status imigresennya.

Beliau berkata ini menyebabkan beliau menghubungi SPRM, dan seterusnya memberikan kenyataan pada 28 Mei tahun lepas tetapi beliau tidak tahu sama ada beliau diletakkan di bawah perlindungan saksi walaupun beliau telah setuju membantu siasatan terhadap skandal berkaitan SRC.

Suboh memberitahun mahkamah beliau hanya menghubungi SPRM dari Jakarta pada lewat Mei 2018 bagi membincangkan jadual kepulangannya ke Malaysia, selepas larangan perjalanan dikenakan.

Muhammad Shafee: Apakah jenis percakapan?

Suboh: Kami berbincang tentang penjadualan, penerbangan apa yang harus saya ambil.

Muhammad Shafee: Anda kata anda memanggil beliau (pegawai SPRM). apa tujuannya?.

Suboh: Saya kata saya sedang bercuti dan sama ada ia (larangan perjalanan) boleh dibatalkan.

Muhammad Shafee: Kemudian apa dia kata?

Suboh: Pulanglah ke Malaysia.

Muhammad Shafee: Apakah ada sebarang bentuk jaminan?

Suboh: Tiada.

Muhammad Shafee: Anda pasti?

Suboh: Pasti.

Muhammad Shafee: Apakah anda diberikan perlindungan saksi?

Suboh: Perlindungan macam mana?

Muhammad Shafee: Anda diberikan perlindungan saksi?

Suboh: Saya tak tahu.

Muhammad Shafee: Bila anda pulang, ada anda minta untuk tinggal di tempat lain?

Suboh: Tidak.

Muhammad Shafee: Anda minta untuk tinggal di rumah anda?

Suboh: Ya.

Muhammad Shafee: Apakah anda diberi kawalan oleh SPRM?

Suboh: Saya tak tahu.

Muhammad Shafee: Anda tidak tahu?

Suboh: Saya tinggal di kondominium, saya ada ‘pak guard’ di situlah.

Muhammad Shafee: Apakah anda sedar bahawa anda diperhatikan oleh pegawai SPRM?

Suboh: Tidak, yang saya tahu.

Muhammad Shafee: Apakah anda merundingkan agar larangan perjalanan anda dibatalkan?

Suboh: Tidak, sehingga hari ini saya tidak merundingkan apa-apa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.- Bernama