Isytihar harta: Pas nafi perkuda agama

Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menafikan tohmahan memperkudakan agama dengan menggunakan hadis dalam isu perisytiharan pendapatan dan aset.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal bahawa Pas menolak untuk mengisytiharkan harta dengan memetik hadis, sebaliknya menyatakan hadis ialah panduan untuk umat Islam.

“Pas tak perkudakan agama, hadis adalah panduan. Kalau kita tak berpandukan hadis apa lagi?

"Bukan memperalatkan hadis, yang penting kita berjalan ikut panduan hadis. Kalau nabi sebut demikian tak kan kita nak pertikai, ini Rasulullah beritahu, kalau itu panduan Rasulullah kita kena ikut.

ARTIKEL BERKAITAN: Saifuddin persoal Tuan Ibrahimm tolak usul isytihar harta

Dewan Rakyat lulus isytihar harta

“Nabi khuatir kalau ada pendengki, kalau kita tak rasa tak ada pendengki, kita nak isytihar tak ada masalah. Bila nabi sebut begitu apakah kita lebih cerdik daripada nabi? Itu (hadis) garis panduan pada kita sebagai Muslim, kita ikutlah jika tiada ancaman,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, Pas tiada masalah untuk mengisytiharkan harta malah beliau turut mencadangkan Parlimen membuka kaunter perisytiharan pendapatan dan aset bagi memudahkan wakil rakyat mengemaskini pemilikan mereka secara tahunan.

“Bagi Pas, kita tak ada masalah untuk isytihar harta. Ia hanya usul tidak kuat, lebih baik jadikan akta di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jadi kita boleh ambil tindakan kalau ada orang yang tidak isytihar.

Artikel Berkaitan:

“Kalau berlaku penyelewengan dan penipuan dalam pengisytiharan yang penting dalam Islam ialah punca harta (kena siasat) dan ke mana ia dibelanjakan. Harta yang halal dihisab, harta yang haram akan diazab,” jelasnya.

Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen Pas sedia mengisytiharkan aset mereka kepada Parlimen selepas Dewan Rakyat semalam meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang melakukan tindakan sedemikian kerana parti Islam itu sendiri berpegang teguh kepada usaha membasmi rasuah.

"Kita ada tanggungjawab bukan hanya kepada SPRM tetapi ALLAH di akhirat untuk pastikan punca rezeki kita halal dan kita belanjakan di tempat yang halal. Bagi Pas kita tidak ada masalah, bila lulus kita mengalukan pihak kerajaan membuka kaunter untuk isytihar harta dan beri penerangan.

"Bila Parlimen lulus kita akan ikut keputusan, tak ada masalah (isytihar harta)," kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

Beliau berkata, kebimbangan yang timbul adalah pengisytiharan itu akan didedahkan kepada umum yang berkemungkinan memberikan risiko kepada ahli Parlimen dan keluarga mereka.

Amalan sebelum ini katanya, Ahli-ahli Parlimen hanya perlu mengisytiharkan harta mereka secara bersendiri kepada pemimpin parti masing-masing.

"Isytihar kepada pemimpin parti masing-masing, ahli Kabinet isytihar kepada Perdana Menteri, tapi dulu tak disiarkan kepada umum, sekarang kita siarkan kepada umum.

"Bila kita siarkan kepada umum kena fikir apa risiko setiap orang, bila kita siarkan juga yang keduanya kita dedah maklumat isteri kita walaupun dalam portal sebut isteri dan anak-anak tidak akan didedahkan dan anak pula 21 tahun ke bawah saya pasti mereka tidak ada harta pun.

"Bagi kita sebenarnya kita setuju setiap parti kita akan isytihar kepada setiap pemimpin parti masing-masing.

Malah, Pas juga katanya mengambil tindakan yang lebih tegas dalam memastikan ketelusan dalam parti dengan menyaring calon-calon mereka yang akan bertanding dalam pilihan raya.

"Bagi Pas, setiap calon kita bukan hanya harta kita siasat bahkan akhlak dia, perangai dia, amalan peribadi, isteri, dan keluarga dia.

"Sebab tu kadang-kala syarat lapisan dalam Pas ini berat, itu baru nak lulus sebagai calon," tegas Tuan Ibrahim lagi.