Wanita menyamar jadi pramugari Batik Air

PALEMBANG - Seorang wanita berusia 23 tahun mencetuskan kekecohan selepas menyamar sebagai pramugari dan berjaya menaiki pesawat Batik Air dari Palembang ke Jakarta.
Memetik laporan Kompas, aksinya terbongkar apabila kru kabin mencurigai jawapannya yang tidak selari dengan prosedur operasi standard (SOP) pramugari sebenar.
Wanita berkenaan dikenali sebagai Khairun Nisa, atau lebih mesra disapa Nisya dan dipercayai berasal dari Palembang, Sumatera Selatan.
Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa, Nisya dilaporkan mengenakan seragam pramugari Batik Air, lengkap dengan kad pengenalan palsu dan beg pakaian kru penerbangan.
Menurut laporan, Nisya berjaya memasuki kawasan kabin pesawat dengan menggunakan tiket sah sebagai penumpang biasa.
Namun, ketika berinteraksi dengan kru sebenar, dia gagal memberikan jawapan yang meyakinkan mengenai tugas-tugas asas pramugari.
Hal ini menimbulkan kecurigaan dan dia segera disoal siasat sebaik pesawat mendarat di Jakarta.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Nisya memakai kebaya putih dengan kain batik, gaya rambut sanggul, serta membawa kad pengenalan palsu yang menyerupai ID rasmi syarikat penerbangan berkenaan.
Aksinya menjadi perhatian ramai dan mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan penerbangan dan kawalan akses di lapangan terbang.
Dalam satu kenyataan terbuka yang dimuat naik ke media sosial, Nisya mengakui kesalahannya dan memohon maaf kepada pihak Batik Air serta masyarakat umum.
“Saya memang menaiki penerbangan Batik Air bagi laluan Palembang–Jakarta ID 70-508 dengan memakai pakaian dan kelengkapan pramugari,” katanya dalam satu video yang tular, baru-baru ini.
Nisya turut menjelaskan bahawa keluarganya tidak mengetahui tentang penyamaran tersebut.
Motif sebenar tindakannya masih belum jelas, namun beberapa laporan menyebut bahawa dia melakukannya demi menjaga maruah keluarga dan memenuhi impian peribadi.
Pihak Batik Air belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden ini, namun netizen dan pakar keselamatan penerbangan menyuarakan kebimbangan terhadap kelonggaran kawalan keselamatan di lapangan terbang, yang membolehkan individu tanpa kelayakan menyamar sebagai kru kabin dan menaiki pesawat.
Pihak berkuasa dijangka menjalankan siasatan lanjut terhadap bagaimana Nisya boleh melepasi kawalan keselamatan dan sama ada terdapat unsur kecuaian daripada pihak tertentu.
Insiden ini mengingatkan kembali pentingnya prosedur pengesahan identiti yang ketat dalam industri penerbangan, bukan sahaja untuk keselamatan penumpang tetapi juga untuk menjaga integriti profesion kru kabin. - Awani
Ringkasan AI
- Seorang wanita berumur 23 tahun menyamar sebagai pramugari dan berjaya naik pesawat Batik Air dari Palembang ke Jakarta
- Kekecohan terbongkar apabila kru kabin curiga dengan jawapannya yang tidak mengikut SOP pramugari
- Wanita tersebut dikenali sebagai Khairun Nisa, berasal dari Palembang, Sumatera Selatan
- Nisya menggunakan tiket sah penumpang biasa tetapi gagal memberikan jawapan meyakinkan tentang tugas-tugas pramugari
- Insiden ini mencetuskan perdebatan tentang keselamatan penerbangan dan mengingatkan pentingnya prosedur pengesahan identiti ketat dalam industri penerbangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
