Bakar motor, acu pisau kerana tak dapat pinjam wang

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Hanya kerana tidak mendapat wang yang diminta seorang lelaki sanggup membakar motosikal milik rakan kakaknya dalam kejadian di Bagan Dalam di sini pagi tadi.

Kejadian disedari wanita itu kira-kira jam 7 pagi selepas mendapati motor yang dipinjam daripada rakan dan diletakkan di luar rumah itu hampir hangus keseluruhannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati jiran mereka melihat suspek melakukan perbuatan itu pada jam 6 petang semalam.

"Wanita itu yang tampil membuat laporan polis memberitahu adiknya yang berusia 33 tahun akan 'naik hantu' apabila permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan oleh mereka sekeluarga.

"Suspek juga seorang penagih dadah dikatakan kerap mengamuk meminta wang dari kakaknya serta adik-beradik yang lain. Kita percaya itu menjadi punca suspek membakar motosikal tersebut apabila tidak mendapat wang yang diminta," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, bertindak atas laporan yang diterima pihaknya mengesan dan menahan lelaki terbabit pagi kira-kira jam 10.40 pagi tadi.

"Suspek bertindak agresif dengan mengacukan sebilah pisau kepada polis sebelum berjaya ditangkap tapi dia berjaya ditenangkan sebelum ditahan.

"Polis merampas sebilah pisau, sehelai seluar, pemetik api dan satu peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu daripada suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin.

"Suspek direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya.