Hujan lebat kurang 15 minit, Jalan Mahsuri banjir lagi

BAYAN BARU – Hujan lebat kurang 15 minit sudah cukup menyebabkan jalan raya di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Mahsuri di sini dilanda banjir kilat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan projek tebatan banjir yang dilaksanakan sejak hampir 18 tahun lalu.
Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi berkata, masalah banjir di kawasan itu bukan perkara baharu meskipun pelbagai projek tebatan banjir dan penambahbaikan sistem saliran dilaksanakan dengan peruntukan besar sejak sekian lama.
“Projek tebatan banjir sudah dilaksanakan bertahun-tahun dan banyak wang dibelanjakan. Mengapa hujan lebat dalam tempoh singkat masih menyebabkan kawasan sama dilanda banjir?
“Adakah keberkesanan projek tebatan banjir hanya dapat dilihat dalam laporan projek dan angka peruntukan tetapi tidak dirasai dalam kehidupan harian penduduk?” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Andrew berkata, perkara yang menjadi keutamaan penduduk bukan jumlah projek atau peruntukan yang diumumkan kerajaan, sebaliknya keberkesanan usaha itu dalam memastikan jalan raya tidak lagi dinaiki air, kenderaan dapat bergerak dengan selamat dan penduduk tidak perlu bimbang setiap kali hujan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan wakil rakyat kawasan berkenaan dalam menangani masalah itu termasuk sama ada penilaian menyeluruh telah dilakukan terhadap keberkesanan projek terdahulu serta keupayaan sistem saliran sedia ada.
“Jika projek sebelum ini benar-benar menyelesaikan masalah, mengapa kejadian sama masih berulang?
“Sekiranya projek berkenaan masih gagal mengatasi masalah, sampai bila penduduk perlu terus menunggu penyelesaian?” soalnya.

Andrew berkata, beliau tidak menafikan kepentingan projek tebatan banjir, namun kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai penggunaan wang awam serta hasil sebenar setiap projek yang dilaksanakan.
Katanya, setiap peruntukan menggunakan wang rakyat dan penduduk berhak mengetahui bagaimana wang tersebut dibelanjakan, masalah yang berjaya diselesaikan serta punca banjir masih berulang di kawasan sama.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan agensi saliran berkaitan menjalankan pemeriksaan segera di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti punca sebenar banjir kilat.
"Saya juga ingin meminta pihak berkenaan mendedahkan perkembangan dan keberkesanan projek tebatan banjir yang telah dilaksanakan selain mengemukakan langkah penambahbaikan yang jelas dan praktikal.
“Selepas hampir 18 tahun, penduduk tidak memerlukan lebih banyak nama projek yang kedengaran hebat atau pengumuman peruntukan berulang kali, sebaliknya mahukan jalan yang tidak lagi dibimbangi dinaiki air setiap kali hujan.
“Jika hujan lebat kurang 15 minit boleh mendatangkan masalah yang sama, pihak berkaitan perlu menilai secara serius sama ada hujan terlalu lebat atau usaha tebatan banjir masih belum mencapai matlamatnya,” katanya.
Sementara itu, ramai pengguna jalan raya menyatakan kekecewaan mereka apabila terpaksa meredah banjir kilat di beberapa jalan di Bayan Baru dan Bayan Lepas.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam Khamis, puluhan motosikal yang dipercayai milik pekerja kilang turut ditenggelami air selepas diletakkan di hadapan sebuah kilang di kawasan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.
Difahamkan, kejadian banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat serta keadaan air laut pasang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

