Insiden feri terkandas: Pihak berkuasa digesa pantau bot nelayan

LANGKAWI - Pihak berkuasa digesa meningkatkan penguatkuasaan dan penyelarasan termasuk memantau aktiviti perikanan susulan insiden feri terkandas di alur pelayaran utama Kuala Perlis, baru-baru ini.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Dr Baharin Baharom berkata, kejadian itu turut menjejaskan keselamatan penumpang, anak kapal dan kelancaran operasi pengangkutan laut antara Langkawi dengan tanah besar.
Menurutnya, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihak pengusaha feri Langkawi menggesa kerjasama menyeluruh antara Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan, persatuan nelayan dan pihak berkepentingan lain.
"Kami menghormati nelayan yang mencari rezeki di laut, namun pada masa sama kami memikul amanah membawa ratusan nyawa dalam setiap perjalanan.
"Janganlah kerana kurangnya kerjasama dan kesedaran terhadap keselamatan laluan pelayaran, nyawa penumpang serta anak kapal terdedah kepada bahaya," katanya.
Media melaporkan, seramai 251 penumpang dan 10 kru feri Express Bahagia 98 termasuk bagasi dipindahkan kira-kira jam 2.50 petang selepas feri itu terkandas lebih empat jam.
Kejadian itu berlaku apabila feri berkenaan terkandas di beting pasir berhampiran laluan masuk ke Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis pada Rabu.
Baharin berkata, merujuk kepada pemakluman Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu dipercayai berpunca daripada aktiviti memukat oleh dua bot nelayan di tengah alur pelayaran utama.
"Keadaan itu menyebabkan feri terpaksa memperlahankan kelajuan sebelum faktor arus dan angin menyebabkan feri dihanyutkan ke arah beting pasir.
"Insiden berkenaan menyebabkan enjin feri terhenti dan penumpang terpaksa dipindahkan menggunakan bot-bot kecil, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan semua pihak yang terlibat," katanya.
Beliau berkata, pihak pengusaha feri bersedia memberikan kerjasama dalam sebarang sesi libat urus bagi mencari penyelesaian yang praktikal, adil dan berkesan tanpa menjejaskan mata pencarian komuniti nelayan.
"Langkah yang dicadangkan termasuk meningkatkan pemantauan aktiviti perikanan di alur pelayaran utama, memperjelas kawasan yang perlu dielakkan oleh bot nelayan, mengadakan sesi penerangan keselamatan dan memperkukuh komunikasi antara komuniti nelayan dengan pengendali feri," katanya.
Beliau berkata, pihak pengusaha feri Langkawi percaya bahawa hubungan baik antara komuniti nelayan, pengendali feri dan agensi penguat kuasa merupakan asas penting bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.
"Kami menyeru semua pihak agar menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya sebelum berlaku insiden yang lebih buruk.
"Keselamatan pelayaran bukan hanya tanggungjawab pengusaha feri, tetapi tanggungjawab bersama seluruh komuniti maritim. Apabila perkhidmatan feri terganggu, kesannya bukan sahaja kepada penumpang dan pengusaha, malah kepada ekonomi Langkawi serta imej industri pelancongan Malaysia di mata dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

