Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi meninggal dunia

LANGKAWI – Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Samsulmuddin Sulaiman, meninggal dunia di Wad Isolasi Hospital Sultanah Maliha di sini pada jam 3.21 pagi Khamis.
Allahyarham berusia 52 tahun difahamkan dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 19 Oktober lalu akibat kegagalan pernafasan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat kegagalan fungsi pelbagai organ.
Menurutnya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada seluruh warga polis, khususnya warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi yang menghargai jasa dan khidmat baktinya sepanjang berkhidmat dalam pasukan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.
“Setinggi-tinggi ucapan takziah buat isteri Allahyarham, Mahani Md Sidek yang merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Langkawi serta seluruh ahli keluarga,” katanya pada Khamis.
Turut menyampaikan ucapan takziah ialah Pengerusi Perkep IPD Langkawi, Roazlina Roslim.
Solat jenazah dijangka diadakan di Surau Al-Fateh, IPD Langkawi sebelum dikebumikan di Masjid Al-Qadim, Kuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

