KSU, KP kementerian diingatkan jangan ponteng Mesyuarat Prosiding PAC

Datuk Dr Noraini Ahmad
Datuk Dr Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Perkhidmatan (KP) sesebuah kementerian, jabatan atau agensi kerajaan diingatkan supaya hadir dalam setiap Mesyuarat Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen apabila dipanggil sebagai saksi.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sepanjang beliau mempengerusikan Mesyuarat Prosiding PAC, ada KSU dan KP yang gagal menghadirkan diri dalam mesyuarat tersebut.

“Biarpun telah menerima notis panggilan mesyuarat sekurang-kurangnya tempoh 10 hari seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat (PM) 9, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, namun ada yang gagal untuk hadir.

“Sebaliknya, KSU atau KP hanya menghantar wakil untuk menghadiri Mesyuarat Prosiding PAC Parlimen.

“Lebih mengecewakan saya dan ahli-ahli PAC, KSU dan KP terbabit tidak menjawab surat panggilan mesyuarat PAC yang diserahkan bagi memaklumkan mengenai ketidakhadiran secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, sikap KSU atau KP itu, jelas tidak menghormati Institusi Parlimen, sebagai badan perundangan tertinggi negara yang termaktub dalam Sistem Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.

“Saya memahami kesibukan tugas dan tanggungjawab sebagai KSU/KP dan jawatankuasa ini, terbuka sebarang cadangan tarikh daripada pihak KSU/KP jika mereka tidak dapat menghadirkan diri dalam tarikh Mesyuarat Prosiding yang ditetapkan PAC.

“Seharusnya satu surat rasmi daripada KSU/KP diserahkan kepada PAC Parlimen untuk memaklumkan mengenai kehadiran atau cadangan perubahan tarikh kehadiran Mesyuarat Prosiding,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru Noraini berkata, atas sebab tersebut, beliau akan menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai perkara itu, supaya semua KSU atau KP memahami tugas serta tanggungjawab mereka untuk hadir dalam Mesyuarat Prosiding PAC.