RUU Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 dibentang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 antaranya bagi meniadakan kesalahan berkaitan protes jalanan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut RUU dibentang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman itu, pindaan berkenaan melibatkan Seksyen 3, 4 dan 21 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ia berikutan perubahan dasar kerajaan yang berpandangan hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata boleh termasuk dalam hak untuk menganjur atau menyertai suatu protes jalanan selagi tidak membawa ancaman dan memberi kesan terhadap keselamatan serta ketenteraman awam.

Menurut RUU itu, sekiranya suatu protes jalanan menyebabkan kacau ganggu, perbuatan ganas atau perlakuan jenayah, ia boleh ditangani mengikut undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.

RUU itu juga bertujuan meminda Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman untuk memendekkan tempoh pemberitahuan bagi suatu perhimpunan dari 10 hari kepada tujuh hari sebelum tarikh perhimpunan.

Selain itu, RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 dan RUU Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019 turut dibentang bagi bacaan kali pertama, masing-masing oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, antaranya bertujuan menurunkan had umur maksimum dalam takrif belia kepada 30 tahun, untuk mengadakan had umur minimum dan maksimum bagi ketua dan pemegang jawatan suatu pertubuhan belia.

Sementara itu, RUU Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019 pula antaranya bagi meningkatkan hukuman boleh dikenakan terhadap mana-mana orang yang gagal mematuhi 'award' telah dibuat Tribunal. - Bernama

Artikel Berkaitan: