Lelaki diberkas selepas samun dua premis

Antara barangan yang dirampas daripada suspek.
Antara barangan yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat kes samun, ugut dan khianat yang berlaku di dua lokasi berbeza di Butterworth di sini, petang semalam.

Suspek berusia 52 tahun itu dikatakan mengamuk di hadapan sebuah pusat hiburan dengan memecahkan botol kaca minuman keras dan mengetuk pintu utama premis tersebut menggunakan sebatang besi dalam kejadian jam 3.45 petang.

Pengurus pusat hiburan terbabit juga turut dikejar suspek menggunakan sebilah pisau tetapi berjaya melarikan diri sebelum lelaki itu bertindak mengetuk kereta mangsa dengan sebatang besi sehingga menyebabkan bumbung kemek selain cermin dan lampu pengadu pecah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian kedua yang berlaku jam 4.05 petang, suspek sama disyaki menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Benggali di sini dengan menggunakan sebilah pisau.

"Suspek mengambil sebotol air, meminta wang sebanyak RM50 dan memberitahu akan datang lagi samun kedai tersebut sebelum beredar.

"Suspek juga dilihat melalui kamera litar tertutup (CCTV) merosakkan sebuah kereta di luar premis terbabit memukul menggunakan sebatang besi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bertindak atas laporan yang diterima, polis berjaya memberkas suspek berkenaan jam 8.23 malam.

"Polis masih menyiasat motif kejadian memandangkan kedua-dua pengadu tidak mengenali suspek dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan suspek sebelum ini tetapi dipercayai lelaki berkenaan bertindak demikian dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas sebilah pisau, sebotol air minuman dan sejumlah wang tunai dari suspek. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau babitkan kes jenayah dan dadah," katanya.