Johor kawal pencemaran sungai

Chen Choon
Chen Choon
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memaklumkan beberapa langkah penambahbaikan diambil bagi memastikan pencemaran sungai di negeri ini lebih terkawal.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) sedang menyediakan peraturan terhadap larangan mencemarkan sungai di bawah Seksyen 7A Enakmen Air 1921.

“Had pelepasan efluen yang dibenarkan ke dalam sungai perlu dikaji dengan lebih terperinci dengan menggunakan modul Total Maximum Daily Load (TMDL) yang baru digunapakai di Malaysia.

“BAKAJ akan menjadikan TMDL sebagai panduan kepada penetapan had pelepasan efluen tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Chen Choon berkata, antara langkah lain adalah menambah bilangan pembantu penguat kuasa bagi pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan tadahan selain mengeluarkan notis amaran serta arahan pembaikan kepada premis terlibat.

“BAKAJ akan membatalkan lesen abstraksi air jika premis tersebut ingkar arahan pembaikan dan mengesyorkan untuk menutup premis,” katanya.

Beliau berkata, bagi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, penguatkuasaan berkala ke atas premis industri dipertingkatkan, selain skop tindakan ditambah baik dengan pengenalan konsep pematuhan kendiri.

“Pihak industri itu sendiri bertanggungjawab memastikan pelepasan ke alur air dan pengurusan buangan terjadual dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pemantauan kualiti air sungai, JAS Johor telah mendirikan 227 stesen sungai manual dan empat stesen sungai automatik di Sungai Segamat, Sungai Muar, Sungai Johor dan Sungai Skudai membabitkan 21 lembangan daripada 102 sungai,” katanya.

Chen Choon berkata, pihak Pejabat Tanah dan Galian pula bertindak memberhentikan semua aktiviti membabitkan ubah syarat pertanian kepada ternakan ayam di sekitar lembangan Sungai Johor.

“Penalti akan dikenakan ke atas pemilik tanah di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara (Langgar Syarat),” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan sejak Oktober 2015, tiada lesen baharu dikeluarkan bagi perlombongan pasir sungai di sepanjang Sungai Johor.