Prestasi kewangan Johor baik: MB

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menjawab soalan-soalan ketika menghadiri Mesyuarat bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. Foto: Bernama
Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menjawab soalan-soalan ketika menghadiri Mesyuarat bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Prestasi kewangan Johor berada pada kedudukan yang baik berdasarkan Laporan Kewangan Johor berakhir 31 Disember 2018 yang sedang diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Menteri Besarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, anggaran jumlah akaun hasil disatukan adalah sebanyak RM1.54 bilion manakala jumlah perbelanjaan adalah RM1.53 bilion.

“Ini menunjukkan lebihan (surplus) berjumlah RM5.26 juta. Manakala jumlah simpanan rizab Kerajaan Johor berjumlah RM2.46 bilion.

“Pentadbiran Johor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa komited serta mencari idea-idea baharu untuk memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negeri bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor,” katanya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Persidangan DUN Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Skudai) mengenai rancangan kerajaan negeri dalam usaha meluaskan jenis hasil supaya dapat mengukuhkan kewangan Johor.

Dr Sahruddin (PH-Bukit Kepong) berkata, kestabilan fiskal juga signifikan dan perlu menjadi matlamat utama dan beberapa usaha baharu dikenal pasti.

“Antara usaha baharu kerajaan ke arah meningkatkan hasil kerajaan negeri adalah melalui semakan kadar cukai tanah, semakan kadar lesen hiburan dan penilaian semula pegangan bercukai pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Menurutnya, kali terakhir pindaan cukai tanah Johor diadakan adalah pada tahun 2014, dan selepas 15 tahun berlalu, kerajaan negeri berpendapat ia perlu diperhalusi serta ditambah baik bagi memberi perkhidmatan dan kemudahan awam terbaik untuk rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan semakan semula kasar cukai tanah seperti terkandung di dalam Seksyen 101 Kanun Tanah Negara.

“Semakan semula dan pindaan cukai tanah ini bertujuan bagi merangsang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Johor di samping boleh meningkatkan hasil kerajaan negeri,” katanya.

Dr Sahruddin berkata, bagi pelaksanaan pindaan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, kerajaan negeri di peringkat akhir proses semakan semula terhadap cadangan kadar baharu bayaran lesen.

"Kerajaan negeri juga merancang melaksanakan penilaian semula pegangan bercukai PBT. Ia selaras dengan kehendak Seksyen 137(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976, PBT Johor yang menggunapakai senarai nilaian dan kadar cukai sedia ada selama lima tahun dan wajar untuk melaksanakan penilaian semula,” katanya.