Diperdaya pakej percutian murah di kumpulan WhatsApp

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru wanita mendakwa kerugian RM60,781 selepas mendahulukan wang simpanannya bagi membayar kos percutian ke Jepun, akibat diperdaya wakil kumpulan WhatsApp pakej percutian murah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 36 tahun mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu mengecewakan 19 rakan yang teruja untuk ke negara matahari terbit itu.

Katanya, mangsa mendakwa berurusan dengan wakil kumpulan WhatsApp itu pada 1 Januari 2018 bagi urusan percutian lima hari dan empat malam yang dijadualkan pada 23 Dis 2018 dan membuat bayaran ansuran sebanyak 11 kali ke dalam akaun suspek.

"Suspek didakwa telah menghubungi mangsa pada awal Disember memaklumkan percutian itu terpaksa ditunda ke 7 Jan 2019. Mangsa dan rombongannya bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada lewat petang 6 Jan lepas.

"Bagaimanapun, semasa mereka hendak mendaftar masuk penerbangan, mangsa dimaklumkan nombor tempahan penerbangan mereka tidak wujud," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tidak berpuas hati terus membuat semakan hotel yang kononnya telah ditempah suspek dan mendapati tempahan itu juga tidak wujud.

Mangsa yang tidak mahu mengecewakan rakan-rakannya, mendakwa mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk meneruskan percutian dengan niat mahu menuntut balik bayaran itu daripada suspek.

"Suspek dikatakan enggan bertanggungjawab dengan memberikan pelbagai alasan kepada mangsa setiap kali diminta memulangkan wang.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis selepas suspek menyekatnya di nombor telefon dan Facebook, menyebabkan dia tidak lagi mempunyai cara untuk berhubung," katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut pada semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama