10 syarikat terbabit kes penswastaan balak di Mersing

Dzulkefly (tengah) bersama tetamu dan kenamaan bergambar bersama pada majlis berkenaan semalam.
Dzulkefly (tengah) bersama tetamu dan kenamaan bergambar bersama pada majlis berkenaan semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor mengenal pasti 10 syarikat yang dipercayai terbabit dengan kerja-kerja dan penswastaan balak di Mersing.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua syarikat itu juga dipercayai menjalankan operasi serta mendapat kelulusan sejak pemerintahan BN sebelum ini.

“Saya difahamkan perkara ini (pembalakan) adalah projek yang diluluskan kerajaan lama (BN) iaitu penanaman hutan getah membabitkan 10 syarikat yang diberi kelulusan.

"Perincian mengenainya (10 syarikat) akan dimaklumkan Menteri Besar selepas mendapat laporan bertulis lengkap daripada Pengarah Perhutanan negeri (Datuk Jeffri Abd Rasid)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di Galeri Sunway Iskandar di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Dzulkefly berkata, pada masa sama kerajaan negeri juga sedang menunggu laporan mengenai kesahihan gambar satelit peta Google yang menunjukkan beberapa lokasi hutan di Mersing yang gondol akibat aktiviti pembalakan.

"Saya dimaklumkan oleh Menteri Besar, beliau sudah menerima laporan daripada pengarah perhutanan negeri. “Daripada apa yang dikemukakan sekarang, imej peta Google itu adalah imej lama dan perkara itu kita sedang menunggu pengesahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan, kerajaan negeri juga berharap laporan penuh mengenai isu pembalakan itu dapat diterima sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) disambung semula Ahad ini.

"Kita sebagai kerajaan negeri mahu bersikap telus dan memandang serius mengenai isu pembalakan di Mersing,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya tiga lokasi di Jalan Jemaluang-Mersing dikesan berlaku aktiviti pembalakan dan peta Google juga menunjukkan lokasi pembalakan terbabit berada di kawasan sekitar Hutan Simpan Lenggor dan Gunung Arong.

Kawasan pembalakan membabitkan hutan seluas lebih 30 hektar itu dipercayai dijalankan sejak kira-kira lima tahun lalu.