Syurga hidupan marin di PD

Galeri Pusat Ikan Hiasan Port Dickson mula jadi tarikan pelancong.
Galeri Pusat Ikan Hiasan Port Dickson mula jadi tarikan pelancong.
A
A
A

PORT DICKSON - Mula dibuka kepada umum pada 2016, Pusat Ikan Hiasan di Teluk Kemang, Port Dickson memberi peluang kepada orang ramai melihat secara lebih dekat pelbagai spesis hidupan marin yang mendiami perairan laut dan pantai Port Dickson.

Apa yang lebih menarik tiada bayaran dikenakan dan sangat sesuai untuk ibu bapa yang inginkan percutian bajet, tetapi boleh memberi keseronokan kepada anak-anak.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, Port Dickson sememangnya terkenal dengan pantainya yang menjadi tarikan pengunjung sejak dahulu lagi.

Namun katanya, masih ramai tidak tahu bahawa di sebalik kebiruan air laut Port Dickson adanya hidupan ikan hiasan marin yang berwarna-warni dan sangat cantik.

Kanak-kanak teruja melihat penyu.
Kanak-kanak teruja melihat penyu.

"Fungsi asal pusat ini adalah untuk penetasan udang galah, tetapi ditukar pada 2013 untuk wujudkan industri ikan hiasan marin, bersesuaian dengan sumber laut Port Dickson.

"Itulah uniknya sumber perairan Port Dickson yang ramai tak tahu dan melihat keistimewaan ini serta menyemarakkan lagi sektor pelancongan ikan hiasan marin, Jabatan Perikanan Malaysia mengambil inisiatif mewujudkan pusat ikan hiasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengunjung berpeluang melihat lebih 40 jenis ikan hiasan marin serta 20 jenis batu karang dan pelbagai spesis lain tanpa perlu menyelam di laut.

Beliau berkata, tarikan utama ke pusat ini ialah ikan nemo atau inggu yang menjadi kesukaan kanak-kanak yang biasa dilihat dalam kartun Finding Memo.

"Kita turut melakukan kajian teknologi dan pembiakan ikan ini yang mendapat permintaan tinggi di pasaran," katanya.

Ikan nemo antara yang menjadi tarikan.
Ikan nemo antara yang menjadi tarikan.

Selain itu katanya, antara tarikan lain yang disediakan di pusat berkenaan adalah konservasi penyu karah dan agar.

Halimi berkata, tahun ini sahaja, sebanyak 2,097 biji telur telah ditetaskan dan 500 ekor yang dilepaskan.

“Kajian pemakanan penyu juga dilakukan bermula dari penetasan sehingga peringkat dewasa sebelum dilepaskan di perairan laut Port Dickson.

“Pusat ini juga menawarkan beberapa kursus bertujuan untuk melahirkan usahawan industri ikan hiasan marin selain memberi peluang kepada Jabatan Perikanan mengembangkan teknologi pembiakan.

Kuda laut.
Kuda laut.

“Antara kursus ditawarkan ialah kursus asas ternakan kuda laut dan kursus penyediaan akuarium ikan hiasan marin,” katanya.

Malah katanya, 80 peratus hidupan marin yang diternak dan dibiakkan di pusat berkenaan diambil dari perairan Tanjung Tuan, yang diwartakan sebagai kawasan larangan perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 Peraturan-peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994.

Sementara itu katanya, tahun lalu seramai 85,377 jumlah pengunjung direkodkan datang ke pusat berkenaan yang mana 42,674 pengunjung dari Negeri Sembilan.

Manakala dalam tempoh Januari hingga Disember tahun ini, seramai 69,272 pengunjung direkodkan.