Kes penipuan 'online' meningkat di Terengganu

Penipuan pembelian dalam talian meningkat di negeri ini berdasarkan aduan yang diterima KPDNHEP Terengganu.
Penipuan pembelian dalam talian meningkat di negeri ini berdasarkan aduan yang diterima KPDNHEP Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Trend penipuan pembelian dalam talian di negeri ini menunjukkan peningkatan berdasarkan aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu.

Pengarahnya, Shaharuddin Mohd Kia berkata, jumlah aduan yang diterima bagi kes itu meningkat kepada 217 aduan pada 2018 berbanding hanya 156 aduan pada 2017.

Katanya, tahun ini sebanyak 151 aduan penipuan dalam talian direkodkan dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga 23 Jun lalu.

"Secara keseluruhannya kita menerima sejumlah 292 aduan pada tahun ini yang membabitkan 17 kategori bagaimanapun, kes penipuan dalam talian adalah yang tertinggi saban tahun.

"Ia memberikan gambaran bahawa pengguna sering menjadi mangsa kepada pelbagai penipuan melalui transaksi dalam talian terutama menerusi pengiklanan barang atau perkhidmatan yang mengelirukan," katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilfitri KPDNHEP Terengganu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Shaharuddin menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang urus niaga secara dalam talian.

"Pengguna perlu membuat perbandingan harga, menyemak testimoni pembeli terdahulu di samping maklumat perniagaan serta memilih laman tapak pasar dalam talian yang selamat terutama pembelian melalui individu tertentu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu menarik dan cuba meminimumkan risiko untuk ditipu dengan melakukan pembayaran tunai sewaktu penerimaan (COD) mahu pun membeli barangan dan perkhidmatan dengan platform yang memiliki rekod serta komen yang baik daripada pengguna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPDNHEP telah menguatkuasakan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Katanya, peraturan itu memerlukan peniaga mempamerkan atau mendedahkan lapan maklumat iaitu nama orang yang menjalankan perniagaan, nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, alamat e-mel dan nombor telefon, perihalan tentang ciri utama barangan atau perkhidmatan, harga penuh termasuklah kos pengangkutan, kaedah pembayaran, terma-terma dan syarat-syarat serta anggaran masa penghantaran kepada pembeli.

"Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 150 Akta Perlindungan Pengguna 1999 mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, KPDNHEP Terengganu telah melakukan sebanyak 27,078 pemeriksaan di seluruh negeri pada tahun ini membabitkan 355 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM1.7 juta di samping kompaun sebanyak RM48,150.

"Bagi hukuman denda oleh mahkamah pula, sebanyak 32 kes telah disabit kesalahan dan dikenakan denda sebanyak RM275,300 bagi keseluruhan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula pada 21 Mei 2019 dan berakhir pada 19 Jun lalu, kita telah memeriksa sebanyak 2,261 premis di peringkat borong dan runcit dengan tujuh kes dikesan yang membabitkan nilai rampasan RM357.50 manakala kompaun pula sebanyak, RM850," katanya.