71 tan dadah bernilai RM213 juta dirampas tahun ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 71 tan dadah dianggarkan bernilai RM213 juta dirampas sejak awal Januari hingga 15 Jun lepas, kata Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat.

Beliau berkata, antara dadah sintetik yang dirampas ialah syabu (3.6 tan), pil ecstasy 457 kilogram (kg) serta pil Erimin 5 (57 kg) manakala dadah tradisional pula iaitu ketum (66 tan) dan ganja (0.5 tan).

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, 84,905 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Sejak akhir-akhir ini ancaman dadah semakin meningkat dan polis khususnya JSJN telah memperkasakan aktiviti pencegahan serta penangkapan pengedar dadah," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, pihaknya telah mempertingkat kawalan di pintu masuk negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelak kemasukan bekalan dadah.

"Kerjasama dengan agensi penguatkuasaan luar dan dalam negara juga dipertingkat dalam usaha memperoleh maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah rentas sempadan," katanya. Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, penglibatan golongan muda dalam penyalahgunaan dadah dilihat membimbangkan dengan 3,683 individu berusia 19 hingga 24 tahun ditahan dalam operasi sejak 6 Mei hingga 19 Jun lepas.

"Kebanyakan mereka menggunakan dadah di pusat-pusat hiburan untuk berhibur dan perkara itu perlu dibendung memandangkan golongan ini merupakan generasi yang bakal memimpin negara.

"Orang ramai diminta menyalurkan apa jua bentuk maklumat berkaitan dadah kepada polis," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: