Dadah dalam 'teh Cina' RM1.08 juta dirampas

Agus Salim menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPD Sabak Bernam pada Rabu.
Agus Salim menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPD Sabak Bernam pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Polis berjaya membongkar sindiket penyeludupan dadah didalangi warga asing bernilai RM1.08 juta dalam sebuah bot di sebuah jeti nelayan di Sekinchan Jumaat lalu

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, empat lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun itu dipercayai ingin mengedar dan menyeludup keluar dadah ke Indonesia.

Menurutnya, semua suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu ditahan kira-kira jam 10 malam dalam bot berkenaan.

"Hasil serbuan itu polis merampas dadah disyaki syabu kira-kira 30 kilogram yang disimpan dalam bungkusan teh Cina," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini pada Rabu.

Beliau berkata, semua suspek bekerja sebagai nelayan direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 61 (c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kes berasingan, Agus Salim memberitahu, pihaknya turut menahan seorang peniaga kedai runcit berusia antara 30 hingga 40-an atas kesalahan memiliki sepucuk pistol di sekitar daerah ini pada 18 Mei lalu.

"Lelaki tempatan itu memiliki pistol jenis Pietro Baretta Gardone secara tidak sah dipercayai sejak lima atau enam tahun lalu," ujar beliau.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971.