Jabatan Perhutanan Perak tak tutup Bukit Kledang

Dari kanan: Siti Syafiqah, Mohamed Zin, Sivakumar dan Pou Hian yang hadir ketika sesi perbincangan tersebut.
Dari kanan: Siti Syafiqah, Mohamed Zin, Sivakumar dan Pou Hian yang hadir ketika sesi perbincangan tersebut.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak tidak akan menutup kawasan rekreasi Bukit Kledang untuk orang ramai beriadah.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, memandangkan kawasan tersebut di dalam kompartmen Hutan Simpan Kledang Saiong, orang ramai yang ingin memasuki kawasan tersebut perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan Perak.

Menurutnya, tindakan itu diambil atas faktor keselamatan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini di kawasan tersebut.

"Kita tak tutup Bukit Kledang itu. Orang ramai boleh masuk ke kawasan itu melalui jalan berturap sedia ada. Cuma kita tutup laluan-laluan denai yang dibuat sendiri oleh individu tertentu.

"Setakat yang kita kenal pasti ada 10 laluan denai yang dibuat sendiri dan ada laluan yang kita dapati berbahaya serta mengganggu ekosistem hutan simpan di situ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Perbincangan Bersama Persatuan-Persatuan Pendaki Berkaitan Bukit Kledang di Pejabat Perhutanan Perak, Bandar Meru Raya di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi tersebut, Pegawai Hutan Daerah Kinta Manjung, Siti Syafiqah Yusof; Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar; Adun Jelapang, Cheah Pou Hian dan Adun Menglembu, Chaw Kam Foon.

Mohamed Zin berkata, permit memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal perlu diperoleh kerana perkara itu termaktub di dalam Enakmen Akta Perhutanan Negera 1984 (Pemakaian) 1985.

Artikel Berkaitan:

“Kegagalan mendapatkan permit boleh didakwa di bawah Seksyen 47 (4) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar dalam sidang media berkata, pihaknya bersetuju dengan tindakan penguatkuasaan dilakukan Jabatan Perhutanan Perak.

“Kita bersama Pou Hian dan Kam Foon akan menanggung bayaran permit sebanyak RM1,000 setahun bagi memudahkan orang ramai masuk beriadah di Bukit Kledang.

“Bagaimanapun, kita akan mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menentukan pihak yang akan menguruskan kawasan tersebut,” katanya.