LPPKN NS perkenal ujian HPV DNA, urutan kesejahteraan percuma

Kakitangan Klinik Nur Sejahtera Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan menunjukkan alat tabung persampelan sendiri bagi kesan kanser servik pada Program HPV DNA dan MyPapacare. FOTO - BERNAMA
Kakitangan Klinik Nur Sejahtera Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan menunjukkan alat tabung persampelan sendiri bagi kesan kanser servik pada Program HPV DNA dan MyPapacare. FOTO - BERNAMA
A
A
A

SEREMBAN - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan memperkenalkan dua perkhidmatan baharu percuma iaitu ujian saringan kanser serviks melalui ujian Human Papiloma Virus (HPV) DNA dan program MyPapaCare untuk penduduk negeri ini pada tahun ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, ujian HPV DNA bertujuan mengesan kehadiran DNA HPV sama ada berisiko tinggi atau karsinogen (agen pencetus barah) pada sel serviks apabila kehadiran virus ini menyebabkan kanser serviks kepada kaum wanita.

"Insiden kanser serviks meningkat selepas umur 30 tahun dan didapati paling tinggi pada usia 60 hingga 69 tahun. Sebanyak 60 peratus wanita hanya menyedari menghidap kanser memasuki tahap keempat dan kelima.

"Pada tahap ini, kebarangkalian untuk sembuh adalah 30 peratus berbanding 90 peratus sekiranya wanita tersebut melakukan pemeriksaan di peringkat awal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, ujian itu boleh dilakukan sendiri dan hanya mengambil masa kira-kira lima minit menggunakan putik kapas yang dimasukkan dan diputar-putarkan ke dalam faraj sebelum dimasukkan ke dalam tiub untuk dihantar ke makmal LPPKN untuk dianalisis.

"Keputusan ujian boleh diketahui dalam masa kira-kira sebulan dan klien akan segera dihubungi Klinik Nur Sejahtera LPPKN sekiranya keputusan klien menunjukkan 'abnormality' supaya rawatan segera dapat diberikan.

"Program MyPapaCare pula bertujuan memberi kesedaran kepada kaum lelaki terhadap kesihatan melalui perkhidmatan urutan kesejahteraan lelaki," katanya.

Nicole berkata, kaum lelaki berumur 30 tahun hingga 55 tahun dalam senarai e-Kasih atau dalam kumpulan B40 yang mempunyai kemahiran mengurut berpeluang untuk menambah pendapatan keluarga melalui program kesejahteraan lelaki MyPapaCare.

Artikel Berkaitan:

"Program ini diperkenalkan untuk memberi kesedaran kepada kaum lelaki terhadap kesihatan melalui kaedah pemeriksaan sendiri testis dan urutan kesejahteraan lelaki," katanya. - Bernama